QAIS Tajul bersama arnabnya. FOTO Qais Tajul Muhtajj Juraish
QAIS Tajul bersama arnabnya. FOTO Qais Tajul Muhtajj Juraish
Muhamaad Razis Ismail


USIANYA baru mencecah 20 tahun, namun sudah memiliki pengetahuan cukup luas dalam bidang penternakan.

Qais Tajul Muhtajj Juraish umpama menongkah arus apabila memilih untuk 'terjun' ke bidang yang amat jarang diceburi golongan muda sepertinya.

Disebabkan minat mendalam, dia kini sudah lali dengan najis dan bau busuk ternakan yang perlu dihadapi hampir setiap hari.

Kini, dia aktif memelihara pelbagai jenis haiwan ternakan termasuk arnab, rusa, kambing, burung dan itik sejak beberapa tahun lalu.

Aktiviti penternakan yang dinamakan Qais Tajul Agro Farm ini dijalankan di belakang kediaman keluarga di Kampung Delek Kiri, Klang, Selangor.

Pelanggannya datang dari serata pelosok negara termasuk Pahang, Kedah dan Johor.

PALLET diberikan setiap hari. FOTO Qais Tajul Muhtajj Juraish
PALLET diberikan setiap hari. FOTO Qais Tajul Muhtajj Juraish

Biarpun masih belajar di Institut Veterinar Malaysia, Kluang, Johor, ia sama sekali tidak menghalang Qais Tajul untuk meneruskan minat terhadap bidang penternakan sekali gus menjadi sumber pendapatan sampingan yang agak lumayan.

Kini fokusnya lebih kepada ternakan pelbagai jenis arnab termasuk baka Mini Rex, Netherland Dwarf, Holland Lop, New Zealand White, Chinchilla dan Mix/Kacukan.

Anak sulung daripada lapan beradik ini berkata, dia mula meminati arnab sejak kecil hasil dorongan bapanya.

Katanya, pada mulanya bapanya hanya membeli tiga arnab untuk dipelihara mengisi masa lapang.

"Melihatkan kepada arnab yang mudah dijaga, mudah melahirkan anak dan tidak memerlukan kos tinggi, saya mula memelihara anak secara serius sejak dua tahun lalu.

"Kini saya memiliki 100 arnab yang dipelihara di dalam sangkar di belakang rumah. Biasanya saya jual anak arnab pada usia dua bulan dan ada juga yang mahu beli dagingnya.

HOLLAND Lop antara yang mendapat permintaan. FOTO Qais Tajul Muhtajj Juraish
HOLLAND Lop antara yang mendapat permintaan. FOTO Qais Tajul Muhtajj Juraish

"Paling mahal yang pernah saya jual adalah baka Netherland Dwarf dan Holland Lop berharga RM300 seekor," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, penjagaan arnab sangat mudah berbanding ternakan lain.

"Penjagaannya senang dan tidak cerewet. Setiap hari saya berikan pallet sebagai makanan dan seminggu sekali daun hijau serta rumput kering.

"Pada masa sama, saya berikan makanan tambahan iaitu vitamin untuk menambah selera makan, cantikkan bulu dan suburkan pembiakan," katanya.

Qais Tajul berkata, cuaca memainkan peranan penting yang boleh mempengaruhi tumbesar arnab.

"Sekiranya cuaca tidak menentu yang kadangkala hujan dan panas, arnab akan tertekan serta boleh mengakibatkan kematian mengejut.

"Selain itu, suhu yang panas juga boleh menganggu sistem peranakannya. Oleh itu saya perlu sentiasa pastikan arnab dalam keadaan baik," katanya.

Katanya, dia tidak pernah menyertai sebarang kursus mengenai penternakan arnab dan hanya belajar secara sendiri.

PENJAGAAN arnab mudah dan tidak cerewet. FOTO Qais Tajul Muhtajj Juraish
PENJAGAAN arnab mudah dan tidak cerewet. FOTO Qais Tajul Muhtajj Juraish

Selain menternak arnab, Qais Tajul juga memiliki kemahiran membina sangkar ternakan yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat haiwan.

"Saya hasilkan sendiri sangkar bertingkat ini untuk menjimatkan ruang dan memudahkan pengurusan.

"Uniknya ia turut dilengkapi sistem tangki air yang pemilik tidak perlu bersusah payah masuk ke dalam sangkar untuk memberi ternakan minum. Makanan juga boleh diberi dari luar sangkar dengan memasukkannya menerusi bekas makanan yang disediakan," katanya.

Katanya, dia merancang meluaskan bidang penternakan dengan lebih sistematik termasuk membuat menaik taraf sistem rekod pemakanan arnab untuk menghasilkan ternakan lebih berkualiti.

"Bidang penternakan ini memiliki potensi besar dan mampu menjana pendapatan lumayan.

"Bagaimanapun, ia memerlukan minat mendalam, kesabaran dan ilmu untuk memastikan segala yang dirancang menjadi kenyataan," katanya.

ARNAB mampu melahirkan anak sehingga 13 ekor. FOTO Qais Tajul Muhtajj Juraish
ARNAB mampu melahirkan anak sehingga 13 ekor. FOTO Qais Tajul Muhtajj Juraish

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 6:30 AM