TEMA watak Hulk menjadi pilihan.
TEMA watak Hulk menjadi pilihan.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Hijau dan hitam adalah warna digemari pemilik kenderaan kompak, Perodua Viva ini, selain tampak ‘perkasa’ selepas dibaluti watak adiwira Hulk sebagai konsep utama untuk mengubah suai jenteranya.

Watak yang diminati sejak kecil menjadi inspirasi melakukan proses modifikasi itu buat Mohd Sopian, 28, selain beliau pernah digelar ‘Pian Hulk’ oleh rakan berikutan badannya berisi.

Dalam melakukan proses modifikasi itu, pemiliknya mengekalkan enjin asal tetapi mengubah suai dengan mewarnakan ruang berkenaan supaya lebih menarik.

Menjengah ruang dalamannya, ia sebenarnya menerima sentuhan gaya VIP dengan warna hijau dan hitam bagi menyesuaikan watak berkenaan.

Jika menggunakan konsep VIP, tempat meletak cawan dan botol menjadi keutamaan. Ini boleh dilihat pada tiga cawan yang dibaluti batu permata digantung pada satu ruangan khas pada bahagian bumbung.

Sentuhan itu menyalurkan suasana ceria dengan kombinasi warna hijau memenuhi ruang kabin berkenaan.

Bagi menimbulkan keselesaan dalam kenderaannya, semua tempat duduk dibaluti material PVC berwarna hitam.

Mengenai ruang kokpitnya pula, pemiliknya mewujudkan kelainan pada stereng dengan melekatkan banyak batu permata bagi memberi sedikit keunikan.

Bagi sistem audio, pemilik meng­gunakan pemain cakera jenama Sony yang diperkuatkan de­ngan dua amplifier Mohawk kapasiti 1,000 watt sebelum ditala kepada pembesar suara woofer bersaiz 12 inci Stella.

Dari sudut luaran pula, rim krom dengan ‘bibir’ luaran hijau bersaiz 15 inci daripada jenama Work menjadi pilihan, sekali gus mampu menaikkan imej Hulk sebagai ‘budak hijau’.

Jentera dipanggil Hulk itu kerap menyertai pertandingan autoshow dan beberapa kali membawa tuah kepada pemiliknya selepas memenangi tempat pertama dalam kategori Perodua di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Sentuhan kreatif dari Delone Stickers itu kerap mencuri tumpuan penggemar kereta modifikasi berikutan wataknya yang kelihatan garang, terutama pada bonet depan, dengan imej Hulk dihasil­kan menggunakan cat semburan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:04 AM