SEMESTINYA ruang makan ini mampu menonjolkan dekorasi harmoni.
SEMESTINYA ruang makan ini mampu menonjolkan dekorasi harmoni.

Salam deko. Sebut saja sentuhan dekorasi gaya kotej, sudah tentu ramai terbayangkan penataan ala Inggeris. Tidak dinafikan penataan ini sangat popular di negara barat.

Sentuhan ini banyak diguna pakai dalam menata hias kediaman mewah dan agam masyarakat Eropah. Ada juga yang selesa membawa sentuhan ini ke dalam apartmen berskala sederhana.

Sentuhan dekorasi yang berbaur Barat ini akhirnya secara perlahan-lahan diterima pakai dalam penataan kediaman di Asia. Paling awal ia dipercayai diketengahkan di Jepun.

Apakah sentuhan kotej? Ia antara dekorasi yang cukup sinonim dengan sentuhan berkonsepkan feminin. Kebanyakan orang menggunakan dekorasi itu untuk bilik tidur terutama wanita. Pilihan warna lembut pada cat dinding dan motif bunga yang feminin antara idea tepat untuk mencipta karakter penataan kotej.

Malah, anda tidak perlu risau kerana gaya dekorasi ini juga boleh diaplikasikan dari ruang makan, tempat berkumpul keluarga hingga ruang tamu. Pada masa sama ia turut sinonim dengan penggunaan perabot kayu termasuk kerusi, meja makan, almari, katil dan lantai.

Sentuhan ini meskipun kelihatan redup, ia tetap ceria dengan warna pastel dan corak berbunga. Warna asas perabot berona putih dikatakan cukup kuat untuk menyerlahkan idea penataan itu.

Sementara itu, warna pastel biru nilam, merah jambu cair, krim dan hijau muda lembut berkait rapat dengan dekorasi kotej.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 5:33 AM