FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Oleh Syazwan Msar

Kuantan: Orang ramai masih boleh membeli tiket konsert solo Datuk M Nasir pada malam Ahad ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di Bandar Indera Mahkota, di sini, yang dijual sejak semalam.

Tiket konsert solo M Nasir di venue pertama itu dijual pada harga bermula RM65 hingga RM125 di perkarangan stadium itu.

Pengurus Artis dan Repertoire Luncai Emas Sdn Bhd, Sham Amir Hussain, berkata peminat 'sifu' M Nasir masih boleh membeli tiket konsert solo yang kali terakhir pada tahun 2000.

"Jualan tiket di perkarangan stadium SUKPA sejak semalam sehingga malam konsert berlangsung pada jam 9 malam.

"Kita jangkakan lebih 3,000 penonton datang menyaksikan konsert M Nasir selama tiga jam. Artis yang turut membuat persembahan nanti ialah kumpulan Spider dan Fynn Jamal," katanya di sini, semalam.

Bandar Kuantan, Pasir Gudang, Pulau Pinang dam Shah Alam Selangor menjadi pilihan kepada penyanyi berkenaan bermula di Stadium Tertutup SUKPA, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang, diikuti di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor Darul Takzim (13 Jun), Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang (5 September) dan 7 November melabuhkan tirai konsertnya di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Sham juga berkata, orang ramai juga boleh membeli tiket konsert melalui atas talian di www.ticket2u.biz.

"Kita juga mengadakan karnival di perkarangan luar stadium setiap lokasi bermula 10 pagi hingga malam pada hari konsert diadakan termasuk pencarian bakat penyanyi baru untuk menjadi pelapis artis rakamannya pada masa hadapan dengan jenama pencarian 'LETS NYANYI'.

"Gerai jualan cenderahati selebriti, pameran produk baharu penaja, gerai lukisan serta beberapa gerai lagi turut disediakan.

"LETS NYANYI mempelawa anak muda berusia 16 hingga 25 tahun yang mahu menjadi penyanyi di bawah syarikat rakaman M Nasir dan bolehlah mendaftar dan hadir seawal 10 pagi di karnival konsert nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 5:29 PM