Oleh Wahi Aziz

Shah Alam: Karyawan seni berkaliber, Datuk M Nasir mempamerkan keunggulannya pada Konsert M Nasir...Kembara di hadapan kira-kira 10,000 penonton di Stadium Malawati di sini, malam tadi.

Pada konsert berdurasi tiga jam setengah itu, M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad, 58, menyampaikan 20 lagu popularnya sepanjang empat dekad dalam industri muzik.

Membuka tirai persembahan tepat 8.30 malam, kumpulan Pita Hati dan Fynn Jamal mengisi pentas sebagai aksi pembukaan.

M Nasir yang muncul setengah jam kemudian memulakan persembahan dengan gimik mewarnakan dua kanvas kosong di kanan dan kiri pentas sambil diiringi pengarah dan pelawak, Sabri Yunus.

Ia disusuli dengan tiga lagu, Rajawali Terbang Tinggi, Apokalips dan Bukalah Hatimu tanpa henti dengan iringan tujuh pemuzik dan tiga penyanyi latar.

Beliau terus mengikat tumpuan dengan rangkaian lagu popular antaranya Mustika, Phoenix Bangkit Dari Abu, Andalusia, Keroncong Untuk Ana, Bonda, Juwita, Malam dan Tanya Sama Itu Hud Hud.

'Kegilaan' penghibur itu dengan aksi lincah di pentas ketika menyampaikan Raikan Cinta, Hati Emas, Gerhana dan Ada turut merangsang penonton berdiri, menari dan menyanyi bersama.

Malah, persembahan beliau ketika mengalunkan Keroncong Untuk Ana turut mengundang penonton menyanyi serentak.

Perjalanan konsert tiba di kemuncak apabila mendendangkan lagu keramat, Mentera Semerah Padi yang mendapat sorakan gemuruh penonton dan disusuli Sentuhan Listrikmu.

M Nasir mengakhiri persembahan dengan Langgam Pak Dogo yang dipetik daripada album Phoenix Bangkit (2001), sekali gus menoktahkan siri jelajah konsert berkenaan.

Sebelum ini, M Nasir singgah ke tiga lokasi di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang pada 24 Mei, Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor (13 Jun), Dewan Milenium Kepala Batas, Pulau Pinang (5 September).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2015 @ 1:21 AM
FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
FOTO Nur Adibah Ahmad Izam