Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Peminat Datuk M Nasir, 57, di luar Kuala Lumpur berpeluang menyaksikan konsert solo penyanyi, penerbit dan komposer popular itu bermula hujung bulan ini.

Beliau bakal muncul di empat lokasi dalam konsert dinamakan M Nasir... Kembara itu di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan, Pahang pada 23 Mei ini; Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor (13 Jun), Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang (5 September) dan Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 November ini.

Nasir berkata, reaksi yang diterima pasti berbeza kerana dia sudah lama tidak mengadakan konsert di luar Kuala Lumpur.

"Saya rasa bersyukur, teruja dan tidak sabar untuk buat persembahan dalam konsert berskala besar begini.

Dalam konsert itu nanti beliau akan menyanyikan rangkaian lagu-lagu popularnya termasuk ketika bersama kumpulan Kembara.

"Saya juga akan membawa bersama anggota Kembara dalam segmen khas di beberapa lokasi konsert," katanya.

Kumpulan Spider, Pita Hati dan Fynn Jamal pula akan tampil sebagai pembuka pentas konsert ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 5:09 PM