PUSAT Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Stadium Tertutup, SUKPA Indera Mahkota. FOTO arkib NSTP
PUSAT Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Stadium Tertutup, SUKPA Indera Mahkota. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 312 pesakit Covid-19 dari Pahang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), di sini, dan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, hari ini.

Pengarah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Pahang Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, berdasarkan statistik, seramai 168 pesakit ditempatkan di Sukpa, manakala 144 pesakit pula menerima rawatan di MAEPS.

Katanya, kesemua pesakit terbabit adalah lelaki membabitkan Kluster Genting, Bentong dan Kluster Kuala, Kuantan.

"Di PKRC Sukpa boleh menempatkan 200 pesakit Covid-19 berisiko rendah dan kini merawat pesakit daripada Kluster Genting dan Kluster Kuala," katanya ketika dihubungi, hari ini.

PKRC Sukpa mula menerima dan merawat pesakit Covid-19 berisiko rendah pada 11 Disember lalu, manakala MAEPS pula 13 Disember lalu.

Semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang dalam kenyataan media memaklumkan terdapat empat kluster aktif iaitu Kluster Atabara dan Kluster Inten di Indera Mahkota, manakala Kluster Kuala (sekitar Bandar Kuantan) serta Kluster Kristal (Sungai Karang Darat).

Namun, empat kluster terbabit tiada kaitan dengan Kluster Genting, malah wabak terbabit berkembang sebelum pembukaan Sukpa sebagai PKRC.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 4:28 PM