Nampaknya segelintir artis baru cepat lupa diri. Baru rakam satu, dua lagu atau memegang watak kecil dalam drama sudah ingat dia hebat.

SS tidak kisah kalau artis seperti ini mahu berperangai macam-macam tetapi sekurang-kurangnya menjaga adab ketika berjumpa dengan orang.

Bercerita mengenai adab, seorang rakan SS merungut mengenai sikap seorang artis baru yang dikatakan terlampau sombong.

Kisahnya, rakan SS dikehendaki membuat liputan mengenai artis terbabit mengenai kariernya. Ketika di awal pertemuan, rakan SS sudah merasakan sesuatu yang tidak kena mengenai artis itu kerana sikapnya agak pelik terutama apabila bertanyakan mengenai kerjayanya.

Apa yang membuatkan rakan SS marah, artis itu terpinga-pinga dan seolah-olah enggan menjawab soalan yang ditanyakan.

Pelik, mahu jadi artis tetapi langsung tidak tahu mengenai karya yang dihasilkan. Apabila ditanya lanjut, artis itu hanya memandang rakan SS semacam, memang teruk kemahiran komunikasinya.

SS hanya mampu menggelengkan kepala mendengar kisah artis itu dan tidak pasti kalau dia sebenarnya segan atau memang sombong.

Yang pastinya, artis seperti ini memang tidak akan bertahan lama dalam industri seni dan SS berharap dia insaf serta sedar diri.

SS: Tahniah kepada pelakon Sharnaaz Ahmad kerana mengeluarkan produk sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 11:03 AM