ARIFF Bahran. FOTO Mahzir Mat Isa
ARIFF Bahran. FOTO Mahzir Mat Isa
Georgie Joseph


PENYANYI Ariff Bahran mengakui dia berat mulut untuk bertegur-sapa dengan orang industri disebabkan terlalu segan sebagai pendatang baru dan bukannya sombong.

Ariff, 20, mengakui dirinya banyak mendapat reaksi dikatakan sombong padahal masih baru namun menafikan dia adalah jenis sebegitu.

“Saya akui memang komunikasi agak terbatas sekarang ini sehingga ada menganggap saya berat mulut. Bukannya menyombong tapi saya sangat segan untuk membuka mulut.

“Saya sedar saya orang baru sehingga perkara itu memberi impak sebenarnya. Bagaimanapun, itulah yang saya belajar perbaiki sekarang disebabkan ia sangat penting untuk kerjaya selain sekarang semakin dikenali.

“Syukur ada rakan-rakan artis seperti Haqiem Rusli yang sentiasa menegur apa-apa yang tak kena baik sewaktu wawancara mahupun persembahan di pentas. Pengurusan juga sentiasa menasihati saya pelbagai perkara,” katanya.

Bagaimanapun, Ariff reda dan menerima dengan hati terbuka jika tetap dilabel sombong.

Baginya, hal itu disifatkan sebagai pengajaran buatnya dan dia berjanji memperbaikinya

“Kedengaran klise, namun orang yang beranggapan saya sombong biasanya mereka tidak kenal atau bercakap dengan saya. Tapi saya tidak kisah.

“Sekarang ini saya berusaha keras untuk memperbaiki kemahiran komunikasi saya. Ramai tampil memberi bimbingan dan saya sangat bersyukur dengan sokongan itu,” katanya.

Ariff kian menempa nama apabila lagunya Kata Akhirmu mendapat sambutan luar biasa. Dilancarkan tahun lalu, video muzik lagu itu sudah mencecah lebih 5.2 juta di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 6:38 PM