Hayati Ibrahim


GOLONGAN Bumiputera akan diberi lonjakan berganda menerusi pembentukan budaya keusahawanan di pelbagai peringkat untuk menjadikannya sebagai bangsa usahawan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, budaya keusahawanan ini akan terus dipupuk secara bersepadu melalui peranan pelbagai agensi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan TEKUN Nasional (Tekun) serta agensi mandat Bumiputera.

"Selain itu, lonjakan berganda dalam pendidikan dan modal insan akan terus diperhebat khususnya dalam kalangan keluarga B40 dan M40 Bumiputera.

"Pemberian biasiswa, program pemupukan dan pembangunan, serta bimbingan kepada modal insan Bumiputera akan diperluas kepada semua peringkat," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) yang ingin mengetahui langkah meningkatkan ekonomi Bumiputera khususnya yang semakin ramai menganggur dan hilang tanpa menyalahkan bangsa lain.

Muhyiddin berkata, beberapa kaedah lain seperti dasar Carve Out & Compete, petunjuk prestasi utama (KPI) atau sasaran pencapaian Bumiputera bagi setiap kementerian, jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta perolehan ekuiti dan aset strategik juga akan dimantapkan.

Beliau berkata, secara perbandingan, insiden kemiskinan Bumiputera adalah 7.2 peratus tahun lalu, berbanding kaum Cina 1.4 peratus dan India 4.8 peratus.

Menurutnya, pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat adalah 16.2 peratus pada 2015 berbanding bukan Bumiputera sebanyak 30.7 peratus dan pegangan asing sebanyak 45.3 peratus.

Katanya, kadar pengangguran Bumiputera adalah 3.7 peratus pada 2019 berbanding purata nasional 3.3 peratus.

"Mengambil kira keadaan ini, Kerajaan mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) sebagai platform tertinggi untuk memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

"Saya sendiri akan mempengerusikan MKB yang akan memandu dan mempercepatkan pemerkasaan ekonomi Bumiputera," katanya.

Selain itu, Muhyiddin turut memutuskan supaya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menjadi Agensi Penyelaras Utama pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

Beliau berkata, Teraju akan menjadi penyelaras tunggal bagi pangkalan data Bumiputera merentas kementerian, agensi dan GLC.

Katanya, kerajaan juga komited untuk menjayakan Agenda Bumiputera melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan dibentangkan awal tahun hadapan.

"Insya-Allah, saya berkeyakinan sekiranya semua pihak menumpukan sepenuh usaha untuk menjayakan semua perancangan yang disebutkan tadi, kita akan mampu melonjakkan taraf sosio-ekonomi Bumiputera tanpa menjejaskan peluang dan hak kaum lain untuk menikmati kemakmuran negara secara bersama," katanya.

MUHYIDDIN (gambar arkib). FOTO Bernama
MUHYIDDIN (gambar arkib). FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 11:30 AM