PRODUK dalam tin yang berasaskan daging khinzir yang dipercayai terdapat virus demam babi Afrika. FOTO Arkib NSTP
PRODUK dalam tin yang berasaskan daging khinzir yang dipercayai terdapat virus demam babi Afrika. FOTO Arkib NSTP
Siti A’isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Kesihatan akan menjalankan pensampelan untuk pengesahan keberkesanan proses ‘retort’, salah satu proses dalam pemprosesan makanan bagi produk hasilan khinzir untuk memastikan tiada pencemaran virus demam babi Afrika (ASF).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum isu produk ‘Canned Luncheon Meat’ diimport dari China yang didakwa dikesan dengan asid deoksiribonukleik (DNA) virus ASF di Sarawak.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sarawak dalam menangani perkara ini.

“Seperti dimaklumkan oleh pihak JPV, pengguna dinasihatkan untuk mengelak daripada membeli produk ini, termasuk belian atas talian serta tidak memberikan produk atau sisa produk ini sebagai makanan kepada khinzir.

“Ini bagi mengurangkan risiko ASF menjangkiti khinzir yang memakan sisa makanan haiwan yang sudah tercemar dengan virus ASF,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, wabak ASF adalah penyakit haiwan dan tidak menjangkiti manusia iaitu bukan dikategorikan sebagai penyakit zoonotik yang boleh menjangkiti manusia sama ada melalui haiwan hidup atau produk hasilan khinzir.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Seksyen 13A Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak terbabit mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya bahan binatang atau sayuran berpenyakit, kotor, reput atau bangar adalah melakukan kesalahan.

Katanya, apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lapan tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Katanya, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, hubungi Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 9:51 AM