Ciapan penjelasan JAKIM di FB mengenai dakwaan minuman malt coklat yang dirujuk kerana didakwa mengandungi usus babi. Foto JAKIM
Ciapan penjelasan JAKIM di FB mengenai dakwaan minuman malt coklat yang dirujuk kerana didakwa mengandungi usus babi. Foto JAKIM
Mohd Husni Mohd Noor


BUKAN ‘usus babi’ sebaliknya ia adalah gumpalan susu yang terhasil akibat produk minuman yang sudah rosak.

Begitulah penjelasan diberikan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) susulan tular gambar kotak minuman malt coklat MILO kononnya mengandungi bahan seakan usus babi.

Menjelas lanjut perkara itu, pihak Nestle Malaysia yang dirujuk oleh JAKIM mengesahkan ia hanyalah gumpalan susu yang terjadi akibat produk yang sudah rosak.

“Kami diajukan kemusykilan berkenaan produk itu didakwa mengandungi sesuatu seakan usus babi.

“Berdasarkan penjelasan diberikan syarikat itu, ia adalah gumpalan susu,” katanya dalam kenyataan JAKIM dikongsi di Facebook (FB) hari ini.

Menurutnya, pihak syarikat itu masih belum dapat menghubungi individu yang tularkan kejadian terbabit menerusi rakaman video untuk disiasat punca berlakunya gumpalan susu terbabit.

Katanya, sekiranya pengguna lain turut mengalami kejadian sama, boleh hubungi Perkhidmatan Pengguna Nestle di talian 1800883433 atau di https://www.nestle.com.my/aboutus/our-halal-commitment untuk menyalurkan aduan.

Dalam pada itu, pengguna juga dinasihatkan supaya merujuk Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan Malaysia di http://fsq.moh.gov.my/v6/xs/index.php untuk mengetahui informasi lanjut berkenaan isu keselamatan dan kualiti makanan yang berada di negara ini.

Pengguna juga boleh melayari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia malah, semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar, Verify Halal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:48 PM