Bandung: Kerana terlalu asyik bergambar di tepi pantai seorang pemuda mati lemas selepas dilanda ombak besar di pantai Karang Paranje, dekat sini.

Jurucakap polis, Pudjo Hartono berkata, kejadian pada jam 4.30 petang (waktu tempatan itu) menyebabkan Devi Mihfaudin, 20, mati akibat lemas.

“Ketika mangsa sedang asyik bergambar di tepi pantai tiba-tiba datang ombak besar dari belakangnya dan terus mengheret lelaki itu ke laut,” katanya.

Ujarnya, ahli keluarga mangsa dan pengunjung lain cuba menyelamatkan lelaki itu tetapi gagal.

“Mayat mangsa ditemui sejam selepas kejadian oleh pasukan penyelamat yang dibantu penduduk setempat.

“Mangsa ditemui tidak bernyawa tidak jauh dari lokasinya hilang,” jelasnya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 12:20 PM