Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Pembangunan Sumber Manusia Bhd (PSMB) menjangkakan pelaksanaan Program Profesional dan Industri Diiktiraf Global 1Malaysia (1Malaysia GRIP) dapat membantu Malaysia mencapai tahap 40 peratus pekerja mahir menjelang 2020 berikutan ia memberi peluang kepada pekerja untuk terus menggunakan dana daripada kutipan levi syarikat dan peruntukan kerajaan bernilai RM300 juta bagi tujuan latihan kemahiran.

Bagi mengadakan dana RM300 juta berkenaan, PSMB telah mengadakan perbincangan dengan pemegang dana dalam kalangan syarikat berdaftar di bawah PSMB bagi menyokong separuh daripada dana itu, manakala RM150 juta lagi disalurkan oleh kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, CM Vignaesvaran berkata, separuh daripada dana itu ialah bersamaan dengan 30 peratus daripada kutipan levi keseluruhan daripada syarikat yang membayar levi bulanan kepada PSMB.

Beliau berkata, pihaknya memiliki 16,000 syarikat yang berdaftar di bawah PSMB serta layak untuk membayar levi, namun terdapat kurang 10 syarikat saja yang membantah penyaluran 30 peratus dana keseluruhan kepada program berkenaan.

“Program ini sepatutnya dilancarkan pada 1 Mac lalu tapi terpaksa ditangguhkan bagi memberi penerangan kepada syarikat-syarikat berkenaan dan ia dijangka akan dilancarkan pada 1 Jun ini.

“Antara isu yang dibangkitkan oleh syarikat yang tidak bersetuju mengenai sokongan dana berkenaan ialah mereka khuatir syarikat tidak berdaftar dapat menggunakan dana berkenaan.

Vignaesvaran berkata, walau bagaimanapun sebenarnya syarikat yang berdaftar lebih menerima manfaat kerana boleh menggunakan dana RM150 juta yang diperuntukkan kerajaan apabila dana sedia ada mereka telah habis digunakan berbanding syarikat tidak berdaftar yang hanya boleh menggunakan peruntukan daripada kerajaan saja.

Selain itu, 1Malaysia GRIP juga memberi keutamaan kepada pekerja untuk terus memohon latihan kemahiran yang dikehendaki mereka kepada PSMB berbanding sebelum ini, keputusan untuk menyertai latihan perlu mendapat persetujuan pihak syarikat atau majikan.

“Perkara ini antara yang menjadi kebimbangan majikan kerana mereka khuatir apabila seseorang pekerja itu mempunyai perakuan kemahiran yang di luar kawalan menyebabkan pekerja akan berpindah ke syarikat lain.

“Namun, kita ingin memastikan semua pihak boleh menerima manfaat daripada program ini yang dilihat membantu meningkatkan taraf tenaga pakar negara menerusi latihan kemahiran,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 7:02 AM