M SARAVANAN. FOTO Arkib NSTP
M SARAVANAN. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

RAKYAT Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura dinasihatkan untuk mendaftar di Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs bagi penempatan pekerjaan semula.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, individu berkenaan boleh mendaftar menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my atau hadir di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terdekat untuk membuat pendaftaran dan juga mendaftar secara dalam talian.

"Selepas mendaftar, mereka akan mendapat akses kepada pelbagai inisiatif pekerjaan yang disediakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Perkeso.

"Pendaftaran di Portal MyFutureJobs adalah percuma di mana antara perkhidmatan yang disediakan termasuk penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan Program Pasaran Buruh Aktif," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang melindungi pekerja daripada kehilangan pekerjaan tidak meliputi pekerja Malaysia yang bekerja di negara lain termasuk Singapura sekiranya diberhentikan kerana kontrak pekerjaan mereka tidak diliputi oleh undang-undang Malaysia.

"KSM prihatin dengan kesejahteraan dan nasib rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan berhubung dengan pelbagai pihak berkaitan di Johor serta kerajaan Singapura bagi mengumpul maklumat mengenai pekerja Malaysia yang terjejas untuk menyalurkan bantuan segera seperti peluang pekerjaan semula.

"Perkeso juga diarahkan untuk melaksanakan program khusus bagi membantu pekerja kita di Singapura yang kehilangan

pekerjaan supaya mereka diberi peluang pekerjaan atau menyertai program latihan semula untuk memperoleh pekerjaan di Malaysia termasuk mengadakan Karnival Pekerjaan di seluruh Johor khusus untuk pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura," katanya.

Menurutnya, selain itu, satu lagi agensi KSM, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) kini bekerjasama rapat dengan Perkeso dalam menyediakan program latihan kemahiran dan peningkatan kemahiran di bawah Insentif Pengambilan Pekerja atau PenjanaKerjaya iaitu salah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

"Lebih 70,500 pekerja yang diberhentikan kerja di seluruh Malaysia mengemukakan tuntutan Faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kepada Perkeso setakat 9 Ogos lalu.

"SIP yang dikendalikan Perkeso berfungsi sebagai penstabil automatik dalam mengurangkan sebarang kejutan terhadap ekonomi negara.

"Sejak diwartakan pada 2017, sehingga hari ini SIP berjaya membantu lebih 130,000 pekerja yang kehilangan pekerjaan," katanya.

Saravanan berkata, antara faedah SIP merangkumi Elaun Mencari Pekerjaan, Elaun Bekerja Semula Awal, Elaun Pendapatan Berkurangan, Fi atau Yuran Latihan, Elaun Latihan dan Program Penempatan Pekerjaan.

"KSM juga optimis fasa pemulihan ekonomi ini akan menyaksikan beberapa industri mempunyai kemampuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang cukup untuk menyerap pekerja yang diberhentikan termasuk rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura.

"Program Insentif Pengambilan Pekerja dengan peruntukan RM1.5 bilion diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kini membuahkan hasil kerana majikan daripada beberapa sektor ekonomi dilihat dapat menggajikan pekerja secara aktif.

"Sejak Program PenjanaKerjaya ini dilaksanakan, terdapat hampir 14,000 pengambilan pekerja, selain daripada 8,000 pencari kerja yang diambil bekerja melalui portal MyFutureJobs," katanya.

Menurutnya, inisiatif PenjanaKerjaya juga menyediakan program latihan kemahiran dan peningkatan kemahiran untuk pekerja yang baru diambil bekerja di bawah inisiatif itu di mana majikan boleh memilih lebih 5,000 kursus yang ada untuk melatih pekerja mereka.

"Perkeso dan PSMB komited dalam menyediakan program latihan untuk pekerja ini demi kestabilan pasaran buruh dan kelestarian ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 6:43 PM