Pelakon drama Hijrah Jannah, Daniella Sya. FOTO Hazreen Mohamad
Pelakon drama Hijrah Jannah, Daniella Sya. FOTO Hazreen Mohamad
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Daniella Sya, 34, tak ingin hipokrit daripada segi penampilannya terutama yang dikongsikan di media sosial hanya disebabkan ada mengecamnya terlalu seksi.

Daniella atau nama sebenarnya Daniella Sya Yeng Yeng berkata, dia memilih untuk tunjuk saja siapa dirinya tanpa terlalu berhati-hati sangat kerana enggan hilang identiti diri.

"Kadang-kadang berhati-hati juga. Tapi ada ramai kawan-kawan artis saya yang beritahu, kalau sangat berhati-hati, nanti kita akan lupa diri kita sebenarnya.

"Kalau kita tak nak seksi dah, betul-betul tak nak seksi. Jangan kadang-kadang begini, kadang-kadang begitu. Kita kena ada pendirian siapa diri kita.

"Barangkali suatu hari nanti, kalau saya masuk Islam, itu adalah cerita lain," katanya ditemui pada sidang media dan pratonton drama Hijrah Jannah lakonannya baru-baru ini.

Menurutnya, sebagai pelakon pun dia kena tahu membezakan pembawaan watak dalam lakonan serta siapa dirinya di kehidupan realiti.

"Ketika berlakon pun sudah terlalu menjiwai watak. Kalau kerap sangat, takut hal itu akan membuatkan kita kehilangan siapa diri sebenar," katanya.

Walaupun berbangsa Cina dan bukan Islam, Daniella sering disalah anggap sebagai wanita Melayu kerana kerap berlakon watak Melayu.

Namun begitu, pelakon kelahiran Kuala Lumpur terbabit cukup terharu apabila dirinya tidak dipandang prejudis terutama bila bertanya mengenai Islam.

"Ramai orang Islam, bila saya bertanya pasal Islam, berkenalan dengan mereka, tak ada yang macam prejudis. Tak persoal sebab saya bangsa lainkah. Dia macam sangat inklusif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 1:33 PM