NIK Shahrul (tengah) diasak dua pemain Pahang pada separuh akhir pertama.
NIK Shahrul (tengah) diasak dua pemain Pahang pada separuh akhir pertama.
Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Tonggak pertahanan Kelantan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim terpaksa menggalas tugas berat berdepan Pahang dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini selepas Jonathan McKain digantung satu perlawanan kerana layangan kad kuning.

Pemain berusia 25 itu berkata, ketiadaan tonggak pertahanan dari Australia itu mungkin merencatkan sedikit benteng Kelantan.

Namun, Shahrul yakin, rakan seperjuangan lain seperti Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Fitri Omar, Noor Hazrul Mustafa dan Amiridzwan Taj Tajuddin mampu melaksanakan tanggungjawab itu.

Shahrul mengaku berdepan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan bukan tugasan mudah kerana majoriti pemain Pahang mampu menjaringkan gol.

“Dickson Nwakaeme dan Matias Conti selain pemain tempatan seperti Mohd Mohd Hafiz Kamal, Mohd Azimuddin Akil dan R Gopinathan cukup lincah jika berada dalam kotak penalti.

“Walaupun Pahang hebat, kami tetap akan berusaha mengawal jentera serangan mereka daripada membolosi kubu Kelantan.

“Saya yakin ketua jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah memiliki perancangan tersendiri mengekang lawan,” katanya.

Kelantan perlu menang, sekurang-kurangnya dua gol jika mahu layak ke pentas final 23 Mei ini selepas kalah 0-1 dalam aksi pertama di Kuantan Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 7:20 AM