PEMAIN  Selangor    Razman Roslan (kanan)  meraikan  gol keempat bersama rakan sepasukan.
PEMAIN Selangor Razman Roslan (kanan) meraikan gol keempat bersama rakan sepasukan.
Azlan Hafeedz

Kota Bharu: “Jangan marah pemain. Marahkan saya!” tegas pengendali Kelantan,Velizar Popov selepas pasukannya dijinakkan Selangor 2-5, malam kelmarin.

Bagi jurulatih dari Bulgaria itu, semua pemain mempamerkan kesungguhan untuk merapatkan defisit gol, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

Dua gol mudah Selangor dalam tempoh enam minit tidak dinafikan merencatkan semangat pemain Kelantan menyebabkan mereka hilang punca.

Popov berkata, 10 minit awal perlawanan, pasukan Kelantan lebih menguasai permainan sebelum tersentak dengan gol penyamaan Selangor disusuli gol kedua.

Katanya, kelemahan benteng pertahanan Kelantan yang gagal mengawal pemain Selangor menyebabkan pasukan lawan mempunyai ruang untuk menyerang dan menjaringkan gol.

“Namun, saya tidak mahu menyalahkan mereka (pertahanan) 100 peratus kerana saya menyedari kami kehilangan pertahanan import Jonathan McKain yang masih cedera, selain Farisham Ismail, Daudsu Jamaluddin dan Zairul Fitree Ishak belum cergas sepenuhnya.

“Kekurangan seorang pemain selepas Wan Zaharulnizam (Wan Zakaria) dibuang padang pada babak kedua kerana mengasari Nazmi Faiz Mansor turut menyebabkan kami terus gagal mengimbangi kekuatan lawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 9:08 AM