Lausanne: Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara rasmi melancarkan proses bidaan bagi sukan yang ingin disenaraikan pada temasya musim panas di Jepun, umum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) semalam.

Persekutuan sukan antarabangsa kini dijemput menjawab soal selidik yang mesti dikembalikan kepada jawatankuasa penganjur Jepun sebelum 8 Jun ini, dengan senarai pendek diumum pada 22 Jun.

Finalis kemudian diminta melakukan persembahan dengan penganjur memberikan cadangan kepada IOC pada 30 September.

Keputusan muktamad dilakukan IOC pada Ogos 2016 di Rio de Janeiro.

Antara sukan yang mungkin disenaraikan adalah besbol dan sofbol, yang amat popular di Jepun, selain skuasy, karate, papan skate dan papan luncur.

Golf dan ragbi tujuh sebelah adalah dua sukan baru yang akan tampil pada Sukan Olimpik Rio 2016. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:20 AM