ORANG ramai mengambil peluang bergambar bersama logo Olimpik di Tokyo. FOTO AFP
ORANG ramai mengambil peluang bergambar bersama logo Olimpik di Tokyo. FOTO AFP
AFP

Lausanne: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach berkata beliau berasakan keputusan sama ada penyokong luar negara akan dibenarkan untuk memasuki Jepun bagi menyaksikan Sukan Olimpik akan diketahui hujung April atau awal Mei.

Temasya sukan terbesar dunia itu yang sepatutnya berlangsung tahun lalu dijadual bermula 23 Julai depan di Tokyo.

Pihak penganjur masih belum mengumumkan sama ada penyokong boleh memasuki Jepun untuk menyaksikan temasya itu tetapi Bach menjangkakan keputusan akan diperolehi pada Mei.

"Soal tiket harus diatur, aspek logistik juga harus dipertimbangkan," kata Bach.

"Ia membabitkan hal imigresen dan lain-lain. Jadi saya boleh katakan mungkin April atau awal Mei kami akan membuat keputusan."

Pengarah sukan IOC, Christophe Dubi berkata, kemungkinan akan terdapat dua keputusan berbeza berhubung kehadiran penyokong luar negara dan penyokong tempatan.

"Terdapat beberapa kekangan. Pada hujung April mungkin paling sesuai membuat keputusan.

"Penyokong tempatan juga perlu diambil kira. Anda mungkin akan melihat keputusan dilakukan dalam dua peringkat. Satu penyokong dari luar, satu lagi penyokong tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 11:00 AM