Kuala Lumpur: 7-Eleven Malaysia, pengendali kedai serbaneka terkemuka mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.89 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, meningkat 13.2 peratus berbanding RM1.67 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Jumlah keuntungan kasar meningkat 16.6 peratus kepada RM77.4 juta. Peningkatan pendapatan ini disumbangkan terutamanya melalui penambahan jumlah cawangan baru di seluruh Malaysia yang kini mencecah 1,754 cawangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gary Brown berkata, rekod yang dicatatkan itu selari dengan sasaran yang ditetapkan syarikat sebelum ini.

“Penambahan jumlah cawangan, kepelbagaian produk yang ditawarkan, promosi aktiviti, penawaran makanan dan minuman yang segar serta perkhidmatan tambahan antara penyumbang utama kepada perkembangan positif ini.

“Kami juga turut berbangga untuk mengumumkan pembayaran 100 peratus dividen kepada pemegang saham,” katanya.

Untuk suku keempat 2014, kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM481.1 juta, meningkat 14 peratus kepada RM58.9 juta berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Keuntungan kasar dicatatkan sebanyak RM25.6 juta, melonjak 21.5 peratus manakala perbelanjaan jualan dan pengedaran meningkat 17.2 peratus kepada RM19.6 juta berikutan peningkatan kos kakitangan dan utiliti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:13 AM