RANCANG pemakanan anak untuk tingkatkan selera makan.
RANCANG pemakanan anak untuk tingkatkan selera makan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Masalah pemakanan dalam kalangan kanak-kanak sering dilaporkan ibu bapa ketika mereka membawa anak menjalani pemeriksaan rutin.

Mereka sering mengatakan anak sukar mencuba makanan baru, hanya bergantung penuh dengan penyusuan walaupun ketika usia sepatutnya mendapatkan bekalan zat diperlukan daripada makanan.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, ada juga kanak-kanak ini yang didapati aktif secara fizikal dan boleh berkomunikasi dengan teman sebaya tanpa masalah tetapi sukar makan.

Ini sudah tentu menyebabkan tekanan kepada ibu bapa atau penjaga. Pandangan umum sering mengaitkan masalah tabiat pemakanan itu perkara biasa dan akan hilang de­ngan sendirinya.

Bagi kebanyakan kanak-kanak, ia akan hilang dengan sendiri tetapi ada sebahagian yang mengalami masalah tabiat pemakanan yang serius sehingga menyebabkan terganggunya proses tumbesaran fizikal.

Kajian juga membuktikan potensi kesan negatif terhadap perkembangan mental kanak-kanak ini. Secara amnya, rancang pemakanan anak menggunakan kaedah yang dapat meningkatkan selera makannya, mengajarnya mengenal rasa lapar dan makan sehingga kenyang.

Antara kaedah yang boleh dicuba:

- Galakkan anak duduk di kerusi bayi atau meja makan selama 20 hingga 30 minit atau sehingga masa makan berakhir. Walaupun anak tidak makan langsung atau hanya makan sedikit selama beberapa minit, kekalkan di kerusi bayi atau meja makan dalam tempoh berkenaan.

- Terangkan kepada si kecil bahawa dia perlu kekal di meja makan sehing­ga ibu dan ayah sudah ke­nyang. Ini akan mengajarnya apa itu rasa kenyang.

- Jangan bimbang jika anak tidak makan pada akhir waktu 20 hingga 30 minit kerana mereka akan berasa lapar dan ingin makan pada waktu makan yang berikutnya.

- Kurangkan gangguan pada waktu makan seperti barang permainan, buku dan televisyen. Ini akan mengganggu proses pembelajaran rasa ‚kenyang‘ sewaktu makan.

- Ia disebabkan perkara berkenaan hanya mengajar anak makan tanpa dapat mengenal pasti rasa ‘ke­nyang’ jika dibenarkan bermain sewaktu makan.

- Puji anak jika dia mampu menyuap diri sendiri tetapi kekalkan reaksi semula jadi mengenai hidangan yang dinikmati. Misalnya, ibu bapa tidak seharusnya bertepuk tangan atau menunjukkan reaksi teruja apabila anak mencuba makanan baru.

- Perbuatan ini (mencuba makanan baru) bukan ‚pertunjukan‘ untuk ibu bapa. Jangan sesekali memberi ‚upah‘ makanan ringan contohnya gula-gula jika anak mencuba makanan baru. Cukup sekadar pujian.

- Elak menggunakan makanan sebagai hadiah dan ganjaran semasa memujuk atau menunjukkan tanda kasih sayang.

- Jangan paksa atau desak anak makan kerana berkemungkinan ia akan membawa kepada masalah dan bukan peningkatan pengambilan makanan.

- Sekiranya anak tidak makan atau makan dengan kuantiti sedikit, jangan benarkan pengambilan snek antara waktu makan. Ja­ngan risau, ia tidak membahayakan jika anak makan sedikit pada sesetengah waktu makan.

- Ini kerana mereka akan makan dengan lebih ba­nyak pada waktu makan seterusnya atau keesokan harinya.

Peraturan makan

- Beri makan pada masa yang tetap dan jarakkan tempoh makan serta snek antara dua hingga tiga jam. Tiga sajian utama dan satu hingga dua hidangan snek (termasuk susu serta produk tenusu). Hanya berikan air kosong saja antara waktu makan dan snek.

- Hadkan tempoh makan. Tamatkan waktu makan dalam masa 20 hingga 30 minit walaupun anak hanya makan sedikit atau tidak makan langsung.

- Berikan makanan dan kuantiti bersesuaian de­ngan umur. Berikan makanan dalam kuantiti yang sedikit, tetapi benarkan anak untuk menambah makanan.

- Perkenalkan makanan baru secara sistematik. Mula dengan memberikan makanan dalam kuantiti yang sedikit. Apabila anak sudah biasa dengan makanan berkenaan, tambahkan kuantitinya.

- Galakkan anak me­nyuap sendiri dan peka dengan selera yang bersesuaian dengan umurnya.

- Minimumkan salah laku ketika waktu makan.

- Berikan masa untuk anak membiasakan diri dengan rasa dan tekstur makanan yang baru. Apabila anak berpaling daripada makanan tertentu, jangan paksa. Cuba semula dalam masa seminggu atau dua minggu berikutnya.

- Perlu diingat, perubahan positif dalam tabiat pemakanan kanak-kanak bermasalah ini mungkin mengambil sedikit masa. Paling penting, ibu bapa perlu memastikan bekalan nutrien harian mencukupi sewaktu proses peralihan ini.

Di sini letaknya kepentingan pakar perubatan dan pakar dietetik untuk memantau perkara penting ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:05 AM