Nurul Husna Mahmud

SETIAP daripada kita punyai minat dan cita rasa tersendiri dalam pilihan makanan. Biasanya ramai mudah tertarik dengan sajian tinggi gula, garam dan perisa tambahan.

Perlu diketahui tabiat kerap mengambil makanan sama yang mempunyai kandungan tinggi gula dan garam dalam diet harian, boleh mendorong kepada ketagihan makanan.

Perilaku mudah mengenai adanya sikap ketagihan dalam makanan boleh dilihat dalam kalangan anak kecil yang kerap mengambil makanan dan minuman ringan. Kesannya menjadi lebih serius apabila meningkat dewasa.

Ketagihan itu membabitkan gangguan pemakanan lain, bulimia, aneroksia nervosa dan 'pica.' Selain memberi implikasi kepada kesihatan fizikal, terdapat juga elemen gangguan psikologi menyebabkan tabiat berkenaan muncul.

Malah, ketagihan makanan ini secara mudahnya berkait dengan rangsangan pada otak apabila memberi maklum balas rasa gembira dan puas dengan pengambilan makanan tertentu.

Dalam situasi normal apabila rasa lapar, otak akan memberi tindak balas supaya makan dan selepas mengambil kuantiti tertentu, ada reaksi kenyang.

Tetapi, bagi mereka yang mengalami masalah ketagihan makanan tertentu ialah intensiti pengambilan lebih kerap dan tinggi meskipun ketika perut tidak lapar.

MAKANAN manis biasanya boleh memberi tindak balas kimia gembira.
MAKANAN manis biasanya boleh memberi tindak balas kimia gembira.

Malah, satu kajian pusat nutrisi luar negara mendapati ketagihan makanan ini dikaitkan dengan perasaan 'baik' apabila makan sesuatu yang diingini.

Perlakuan ini boleh mendatangkan permasalahan pada kemudian hari, di mana individu terbabit memilih untuk makan bagi memuaskan kehendak hati berbanding keperluan.

Menurut pegawai pemakanan, Nur Nadirah Khairuddin, gejala ketagihan boleh dilihat daripada rutin atau tabiat makanan yang keterlaluan.

"Tidak dinafikan apabila terkurung dalam rumah seperti kebelakangan ini apabila Covid-19, pasti wujudnya simptom baharu iaitu mencuba makanan.

"Mengunyah tidak kira masa berbanding waktu bekerja. Selain di sekolah pula, anak anda mempunyai waktu tertentu untuk makan yang boleh menyebabkan timbulnya masalah ketagihan makanan.

"Lebih teruk apabila mereka ini cenderung terhadap makanan lemak, manis dan tinggi gula yang mempunyai implikasi buruk selain tidak bersenam. Kesan jelas ialah kenaikan berat badan, namun itu tidak membuatkan individu resah sebaliknya gembira dapat memenuhi selera makan.

"Sebaiknya ambil peluang apabila berada di rumah untuk mengatur semula rutin harian termasuk pemakanan dan aktiviti senaman bagi membolehkan diri kawal nafsu makan," katanya.

Antaranya gejala ketagihan makanan ialah saiz hidangan yang luar biasa dari kebiasaan selain kekerapan mengambil makan.

Nur Nadirah menyarankan individu yang mula ada kecenderungan atau gangguan pemakanan sedemikian supaya cepat bertindak untuk mengatasinya dengan tiga langkah berikut:

KANAK-kanak menunjukkan kekerapan makanan ringan juga satu bentuk ketagihan makanan.
KANAK-kanak menunjukkan kekerapan makanan ringan juga satu bentuk ketagihan makanan.

1. Bezakan antara lapar sebenar dan lapar emosi:

Lapar sebenar

- Ada rasa lapar, perut berbunyi dan pedih perut

- Tempoh antara waktu makan panjang iaitu tiga hingga empat jam

- Tidak cerewet memilih makanan asalkan kenyang

Lapar emosi

- Rasa ingin makan secara tiba-tiba

- Hanya mahu makanan tertentu

- Makan sampai habis dan sukar berhenti

2. Alihkan minda seketika iaitu elak melihat paparan resipi atau iklan makanan. Isikan 'keinginan' makan dengan aktiviti lain seperti bersukan atau melakukan aktiviti disukai selain makan.

3. Sentiasa amalkan tabiat bertenang dan berfikir mengenai pengambilan makanan ketika itu keperluan atau rasa bosan. Bina tabiat baru iaitu pengambilan air secukupnya bagi memuaskan keinginan makan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 7:00 AM