SALAH satu gejala kecelaruan tingkah laku ketika makan ialah menangis.
SALAH satu gejala kecelaruan tingkah laku ketika makan ialah menangis.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


KEMAHIRAN makan bermasalah selalunya dikaitkan dengan masalah komponen perkembangan lain seperti masalah motor halus, masalah tingkah laku dan masalah emosi.

Memetik Portal MyHealth, sebahagian daripada gejala yang menunjukkan masalah kemahiran makan dalam kalangan kanak-kanak adalah ialah tercekik, pemilihan makanan cerewet, muntah, gagal menaikkan berat badan dan enggan makan.

Keengganan kanak-kanak makan dapat dilihat daripada pelbagai jenis makanan termasuk enggan makan makanan lecek seperti bubur, makanan lembut (kuih talam atau puri) dan makanan keras (biskut).

Selain enggan makan makanan tertentu, ada juga yang hanya memilih jenis atau keadaan makanan tertentu seperti hanya makan makanan berkuah, makanan manis dan makan nasi tanpa lauk.

Walaupun berhadapan dengan semua masalah itu, kanak-kanak tidak pandai menyatakan apa yang mereka mahu dan tidak diinginkan seperti orang dewasa.

a-Kecelaruan tingkah laku ketika makan

Ia termasuk semua tingkah laku bermasalah yang berlaku ketika waktu makan. Kanak-kanak ini biasanya menunjukkan gejala berikut:

- Enggan duduk di meja makan atau tempat makan

- Enggan menyuap sendiri walaupun mampu melakukannya

- Membaling makanan ketika masa makan

- Merampas makanan orang lain

- Sengaja menangis, menjerit atau muntah untuk mengelak daripada kena makan

b-Kecelaruan deria pemakanan

Kanak-kanak yang menghadapi masalah ini biasanya tidak selesa dan mudah terganggu dengan makanan atau minuman melalui:

- Rupa makanan dihidangkan

- Rasa

- Bau

- Tekstur

Manakala, masalah yang biasanya dihadapi sebahagian besar daripada mereka ditunjukkan sebagai sukar menerima makanan mempunyai tekstur berbeza.

Contohnya, mereka menghadapi masalah untuk meninggalkan makanan dalam bentuk cecair (susu) atau puri.

Ada kanak-kanak berusia lima tahun minum dua botol susu sebelum pergi sekolah. Enggan bersama rakan sekelas ketika makan dan apabila pulang, terus mendapatkan dua botol susu.

c-Kecelaruan pemakanan yang lain

Selain dari kecelaruan pemakanan berasaskan tingkah laku dan deria, kelewatan perkembangan dan masalah perubatan juga boleh menyebabkan masalah kemahiran pemakanan.

Walaupun gejala yang dipamerkan hampir sama untuk ditangani dengan baik, seorang terapi pertuturan bahasa perlu mengenal pasti punca dan asas sesuatu masalah itu.

d-Kanak-kanak berisiko tinggi untuk kecelaruan tingkah laku ketika makan

Kanak-kanak yang mempunyai risiko yang tinggi menghadapi masalah kecelaruan kelakuan pemakanan termasuk:

- Kanak-kanak autisme

- Kanak-kanak mengalami kelewatan perkembangan

- Kanak-kanak kurang sokongan atau tiada model pemakanan yang baik

e-Mengendalikan kanak-kanak kecelaruan tingkah laku ketika makan

Ibu bapa adalah model terbaik untuk mempamerkan sikap pemakanan yang baik.

Pecahkan objektif kepada langkah yang mudah dicapai. Berikan penghargaan kepada setiap langkah yang dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 6:55 AM