DIET makanan seimbang sangat penting untuk kanak-kanak bersekolah.
DIET makanan seimbang sangat penting untuk kanak-kanak bersekolah.
Siti Nadirah Hafidzin

Rutin harian kanak-kanak bersekolah era kini tidak ubah seperti orang dewasa. Mana tidaknya, mereka sentiasa sibuk dengan rutin padat bermula awal pagi hingga lewat malam.

Sama ada masih berada di tadika atau di sekolah rendah, kanak-kanak mempunyai pelbagai aktiviti daripada pembelajaran di dalam kelas diikuti kokurikulum hinggalah ke waktu bermain yang membuatkan mereka sentiasa sibuk dan memerlukan tenaga.

Bagi memastikan anak kecil sentiasa sihat dan cergas berlari, dapat belajar dan bermain dengan aktif, faktor pemakanan seimbang sangat memainkan peranan kerana selain membekalkan tenaga, pemakanan sihat sangat penting untuk tumbesaran anak.

Ia termasuk pertambahan berat dan ketinggian badan, pembinaan tulang, otot dan gigi yang kuat, perkembangan otak, sistem saraf dan psikologi sihat.

Menurut pegawai perubatan, Dr Mohd Hanafi Abdull Habir, pemakanan yang baik membantu kanak-kanak membesar dengan sihat dan sempurna terutama bagi mencapai potensi penuh sama ada ketika bermain atau belajar.

“Ia juga memberi perlindungan apabila anak anda mengalami selesema atau mendapat jangkitan lain dan mempercepatkan proses penyembuhan.

“Namun, langkah memastikan kanak-kanak mengambil makanan yang betul bermula daripada ibu bapa itu sendiri. Anda perlu berusaha mempelajari amalan pemakanan yang baik, khususnya jenis dan kuantiti makanan patut diberikan setiap kali waktu makan,” katanya.

Menurutnya, paling utama adalah pemberian pemakanan yang membekalkan tenaga kerana ia amat diperlukan dalam kehidupan seharian kanak-kanak.

Pemakanan yang betul

Dr Mohd Hanafi berkata, setiap ibu bapa juga penjaga kanak-kanak perlu mengetahui tiga faktor penting mengenai pemakanan kanak-kanak iaitu jenis makanan, kandungan nutrisi dan kuantiti, kepelbagaian serta waktu makan.

“Setiap jenis makanan membekalkan nutrien yang berlainan dan dalam kuantiti tertentu. Ibu bapa perlu tahu, tiada satu jenis pun makanan dalam dunia ini yang boleh memenuhi segala keperluan pemakanan anak anda. Jadi ibu bapa perlu mempelbagaikan makanan yang diberikan kepada anak supaya mereka mendapat nutrien harian yang diperlukan.

“Malah ibu bapa juga perlu memahami dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan tiga elemen penting itu supaya dapat diterapkan dalam rutin makanan harian anak,” katanya.

Menurutnya, karbohidrat diuraikan menjadi glukosa, bahan bakar yang diperlukan tubuh kecil dan otak kanak-kanak.

“Sumber karbohidrat termasuk nasi, mi dan bijirin yang perlu ada dalam diet harian kanak-kanak terutama yang bersekolah.

“Pada masa sama, protein diperlukan untuk membaiki dan menggantikan tisu apabila anak anda terluka di tangan, lutut atau kaki. Ia juga membina otot supaya kanak-kanak dapat bangun dengan cepat apabila terjatuh.

“Sumber protein termasuk ikan, daging, susu dan produk susu. Produk susu juga kaya dengan kalsium untuk tulang yang kuat,” ujarnya.

Katanya, lemak membekalkan tenaga dan asid lemak yang diperlukan. Ketahuilah bukan semua lemak itu tidak sihat melainkan apabila ia diambil secara berlebihan.

Sama ada untuk sarapan, makan tengah hari, makan malam atau snek antara waktu makan utama, Dr Mohd Hanafi berkata, pilihan makanan yang sihat memainkan peranan penting supaya kanak-kanak sentiasa cergas dan bertenaga.

“Pastikan mereka makan setiap kali tiba waktu makan kerana setiap sajian membekalkan nutrien dan tenaga yang diperlukan.

“Selain bijak, ibu perlu rajin dalam menyediakan makanan yang bukan saja berkhasiat malah digemari anak,” katanya.

IBU bapa perlu bijak dan rajin dalam menyediakan makanan harian anak mereka.
IBU bapa perlu bijak dan rajin dalam menyediakan makanan harian anak mereka.

Dr Mohd Hanafi turut berkongsi antara idea juadah makanan berkhasiat yang boleh disediakan si ibu untuk anak tersayang.

Sarapan

Sarapan bukan saja untuk mengisi perut dan memberi tenaga. Ia menjadikan anak anda lebih peka dan membaiki daya ingatan supaya mereka dapat memberi lebih tumpuan kepada pelajaran di dalam kelas. Antara hidangan dicadangkan adalah:

• Bijirin dengan susu.

• Kacang panggang, telur dadar dan roti bakar.

• Bubur ayam atau bubur ikan dengan sayuran.

Waktu rehat di sekolah

Di sekolah, jangan biarkan anak anda mengisi perut mereka dengan makanan ringan yang tidak berkhasiat dan minuman berkarbonat. Sebaliknya, bekalkan mereka dengan makanan berkhasiat seperti:

• Buah-buahan seperti pisang atau epal.

• Sandwic tuna, sardin, ayam atau telur.

• Roti atau biskut tawar dengan keju, marjerin atau jem.

• Sekotak susu, susu soya atau jus buah-buahan.

Makan tengah hari

Makanan tengah hari bagi mengisi semula bekalan nutrien dan tenaga daripada sarapan yang telah digunakan untuk mencergaskan badan dan minda anak supaya lebih bersedia mengharungi masa berikutnya. Makanan yang boleh diberikan:

• Nasi dengan sayuran dihidangkan bersama ayam atau ikan atau daging yang dimasak dengan kicap cair atau tauhu kukus dengan daging cincang.

• Mi sup dengan daging ayam tanpa lemak dan sayuran.

• Nasi ayam kukus dengan salad.

Waktu belajar

Sama ada anak anda mengulang kaji di rumah, pusat tuisyen atau mengikuti kelas piano, mereka memerlukan makanan berkhasiat untuk mencerdaskan fikiran dan badan supaya boleh memberi tumpuan kepada mata pelajaran Matematik dan Muzik! Berikan mereka:

• Pau kaya atau pau kacang merah.

• Sandwic tuna atau sardin atau ayam atau telur.

Makan malam

Makan malam memberi peluang kepada anak anda untuk melengkapkan kuantiti nutrien harian mereka. Galakkan mereka duduk makan bersama keluarga kerana waktu makan malam adalah masa terbaik untuk seisi keluarga berbual mesra. Cuba hidangkan:

• Spageti atau makaroni dengan ayam, sayuran dan keju serta sos tomato.

• Burger ayam masakan rumah dengan roti gandum penuh dan sayuran.

Snek antara waktu makan utama

Snek dapat menenangkan perut yang berkeroncong sebelum tibanya waktu makan utama. Minuman seperti susu, malta, jus buahan-buahan dan susu soya yang diberikan bersama makanan ringan dapat membantu menambah nilai pemakanan makanan snek. Pilihan yang sihat termasuk:

• Bungkusan atau kotak kecil bijirin.

• Biskut separuh manis atau biskut tawar.

• Roti ban atau roti dengan keju.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 1:58 PM