Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Tiket bas untuk pulang ke utara dan selatan tanah air dari ibu kota masih boleh didapati berikutan kebanyakan syarikat bas ekspres sudah mula menjual tiket bagi bas tambahan sempena Aidilfitri ini.

Bagaimanapun, tiket bas ekspres ke pantai timur sudah habis dijual di kebanyakan kaunter berikutan jumlah penumpang yang berganda daripada jumlah bas.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA) Tajudin Mohd Yunus berkata, jumlah sebenar bagi bas tambahan yang disediakan bagaimanapun masih belum diperoleh berikutan tidak semua syarikat memohon untuk menggunakan perkhidmatan itu.

“Tidak timbul isu kehabisan tiket bas menjelang Aidilfitri kerana kebanyakan syarikat bas ekspres menyediakan bas tambahan atas persetujuan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan tidak membeli pada saat akhir kerana mungkin bas akan bertolak tepat pada masa yang ditetapkan untuk memastikan penumpang sampai pada waktunya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, tiket bas ekspres ke selatan dan utara masih ada pada tarikh 14 Julai dan 15 Julai, sementara tiket dari kampung halaman ke Kuala Lumpur masih banyak berikutan jadual perjalanan balik yang tidak serentak.

“Orang ramai tidak perlu risau kerana tiket bas tambahan juga selalunya cukup hingga malam hari raya dan penumpang boleh tiba di kampung halaman selewat-lewatnya pagi Aidilfitri, “ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:07 AM