Barcelona: Bayern Munich memerlukan keajaiban Munich untuk mengekalkan impian layak ke final Liga Juara-Juara di negara sendiri selepas juara lima kali itu tewas 0-3 kepada Barcelona pada separuh akhir pertama, awal pagi semalam.

Kelab Bavaria itu berhasrat melakar asas kukuh bagi layak ke final keempat dalam enam musim di Berlin bulan depan dan yang pertama di bawah kendalian jurulatih Pep Guardiola menerusi persembahan mantap di Sepanyol.

Sebaliknya mereka dikecewakan kelab Catalunya itu, yang menyumbat tiga gol dalam tempoh 13 minit terakhir untuk berdepan separuh akhir kedua sebagai pilihan selepas Bayern keletihan menuju penamat perlawanan.

“Saya tidak suka bercakap besar kerana apabila tewas 0-3 maka peluang anda tidak bagus,” kata CEO kelab Karl-Heinz Rummenigge ketika makan malam selepas perlawanan di Barcelona.

“Tapi mungkin akan ada keajaiban bola sepak di Munich.”

Juara Bundesliga itu berjaya mengatasi defisit besar pada perlawanan pertama kempen kali ini apabila kecundang 1-3 pada suku akhir di FC Porto sebelum membenam lawan 6-1 di Munich.

“Kami Bayern dan akan terus berjuang,” kata pemain tengah, Thomas Mueller. “Kami tidak menjangkakan perlawanan timbal balik seperti menentang Porto.

“Tapi 11 pemain yang berada di padang akan berjuang hingga saat terakhir walaupun saya sedar kami perlukan sedikit keajaiban bola sepak.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 8:35 AM