QUARESMA (kanan) mengalahkan Neuer  kali kedua. FOTO Reuters
QUARESMA (kanan) mengalahkan Neuer kali kedua. FOTO Reuters

Porto (Portugal): Dua gol daripada Ricardo Quaresma pada 10 minit pertama membantu FC Porto mengejutkan Bayern Munich dengan kemenangan 3-1 dalam saingan suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Kesilapan benteng pertahanan juara lima kali ini menyumbang kepada kegagalan menguasai skuad wakil Portugal yang belum ditewaskan lagi dalam kejohanan ini.

Porto mendahului seawal minit kedua apabila dihadiahkan penalti selepas penjaga gol, Manuel Neuer mengasari Jackson Martinez.

Quaresma menyempurnakan penalti itu sebelum asakannya selepas itu mengakibatkan kesilapan daripada pertahanan, Dante yang mombolehkannya mengalahkan Neuer untuk menjaringkan gol kedua Porto.

Thiago Alcantara mengurangkan jurang pada minit ke-28 tetapi Martinez mengembalikan kelebihan dua gol Porto menjelang perlawanan timbal balik di Jerman, minggu depan.

Pengurus Porto, Julen Lopetegui berkata, saingan di Munich akan lebih mencabar.

"Skuad Bayern ini antara yang paling hebat dalam sejarahnya," kata Lopetegui.

Walaupun Porto membawa kelebihan dua gol ke Munich, skuad itu terpaksa bermain tanpa pertahanan Danilo dan Alex Sandro yang digantung.

Porto mengidamkan pengulangan final Liga Juara-Juara 1987 yang menyaksikan pasukan itu mengejutkan Bayern 2-1.

Sementara itu, dalam satu lagi saingan suku akhir pertama di Perancis, Barcelona menewaskan Paris Saint-Germain 3-1.

Neymar menyempurnakan hantaran Lionel Messi untuk gol pertama Barcelona pada minit ke-18 manakala Luis Suarz menyumbang dua gol dalam kemenangan itu.

Sementara itu, cubaan jarak jauh Gregory van der Wiehl membuahkan hasil apabila terkena Jeremy Mathieu untuk gol tunggal PSG.

Kekalahan saingan Eropah pertama buat PSG di laman sendiri dalam 34 perlawanan menyaksikan perlawanan timbal balik di Barcelona, minggu depan lebih sukar untuk skuad wakil Perancis itu.

Namun, PSG mengharapkan kehadiran Zlatan Ibrahimovic yang tidak beraksi kerana digantung satu perlawanan dapat membantu di Barcelona nanti. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 11:18 AM