LANA dan David tak sabar meniti hari bahagia.
LANA dan David tak sabar meniti hari bahagia.
Syanty Octavia Amry


Tiada apa dapat menggambarkan perasaan seseorang yang bakal berkahwin selain daripada gembira, teruja dan tidak sabar.

Begitu juga dengan apa yang sedang dilalui pelakon seksi, Lana Nodin, 35, yang bakal melangsungkan perkahwinannya bersama pasangan, David McKienzie, 35, pada 15 Mei ini di Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Mengakui terlalu sibuk melakukan persiapan, Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin tidak sabar menanti hari bahagianya itu.

“Saya terlalu sibuk menguruskan pelbagai perkara. Sekarang saya sedang menguruskan tempat dan dewan yang bakal menyaksikan perkahwinan kami nanti.

“Tiada apa yang saya fikirkan sekarang ini selain sibuk melakukan persiapan perkahwinan,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Lana baru saja selesai mengadakan sesi fotografi gambar praperkahwinannya bersama David. Jelas terpancar wajah kebahagiaan di wajah kedua-duanya.

Lana sebelum ini mengakui sudah banyak kali kecundang dalam cinta. Malah, dia juga ada pengalaman menjalin hubungan cinta selama enam tahun yang kesudahannya tidak ke mana.

“David bukan saja menunjukkan keikhlasan dalam hubungan kami, tetapi kesungguhan untuk memiliki saya sebagai suri hidupnya. Dia begitu serius dengan hubungan ini.

“Saya pun pada mulanya enggan memikirkan hubungan kami akan sejauh ini kerana faktor perbezaan agama. Pun begitu, David dengan rela memeluk Islam,” katanya.

Menyingkap kisah percintaan mereka, Lana dan David berkawan rapat selepas berkenalan dalam satu acara berprestij di Singapura pada 26 Oktober tahun lalu.

Selepas masing-masing bergayut beberapa jam di telefon, David berasakan ada keserasian di antara mereka berdua serta yakin hubungan ini boleh pergi jauh.

David kemudian melamar Lana pada 3 Januari lalu tanpa cincin kerana tidak tahu saiz jari Lana.

Jejaka berdarah kacukan Ireland, Filipina dan Inggeris itu turut mendapat restu ibu bapanya memeluk Islam kerana bercinta dengan Lana.

Justeru, pada 5 Disember tahun lalu, David sah memeluk Islam dan nama Islamnya ialah Mohd Daud McKienzie. David juga mengakui sudah mendapat pendedahan mengenai Islam sejak enam tahun lalu ketika dia bertugas di Dubai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 1:26 PM