LANA Nodin kini hamil lapan bulan. FOTO - Arkib NSTP.
LANA Nodin kini hamil lapan bulan. FOTO - Arkib NSTP.
Rudy Imran Shamsudin


DISEBABKAN mahu melahirkan anak keduanya di tanah air, pelakon Lana Nodin sanggup mengambil risiko dengan menaiki penerbangan dari Los Angeles, Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur walaupun sarat mengandung.

Lana yang tiba di tanah air empat hari lalu bersyukur kerana tiada apa-apa yang berlaku sepanjang penerbangan dan selamat tiba di tanah air.

Menurut Lana, dia sanggup pulang ke tanah air dalam keadaan sarat kerana mahu menjalani tempoh berpantang di sini.

“Berpantang di sini lebih mudah. Ini kerana ada orang yang boleh membantu terutama apabila mahu bertangas dan berurut.

“Saya pula memang sangat percaya dengan rawatan tradisional selepas bersalin. Jika saya melahirkan anak di sana, susah kerana tiada orang yang boleh membantu saya berpantang,” katanya.

Dalam pada itu, Lana dan suami, Mohd Daud McKienzie juga beruntung apabila mendapat tajaan Rampai Puteri Medical Centre apabila dia bersalin nanti.

“Saya suka melahirkan anak di situ kerana hospital itu khusus untuk wanita dan kanak-kanak. Sebahagian besar doktor yang bakal menyambut kelahiran juga terdiri daripada wanita,” katanya.

Pasangan ini mempunyai seorang anak perempuan iaitu Gia Quinn McKienzie.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 5:07 PM