ADALAH tidak wajar menekan pelajar untuk meminati algebra kerana mereka mungkin bosan apabila tiba waktu yang sesuai untuk mempelajarinya.
ADALAH tidak wajar menekan pelajar untuk meminati algebra kerana mereka mungkin bosan apabila tiba waktu yang sesuai untuk mempelajarinya.
KEPENTINGAN untuk menguasai algebra mencetuskan perbalahan antara pihak yang berkepentingan dengan ahli akademik atau pensyarah pendidikan.
KEPENTINGAN untuk menguasai algebra mencetuskan perbalahan antara pihak yang berkepentingan dengan ahli akademik atau pensyarah pendidikan.
MEKANISME berbeza yang digunakan juga boleh menjadi pencetus minat awal terhadap pelajar tanpa membebankan mereka.
MEKANISME berbeza yang digunakan juga boleh menjadi pencetus minat awal terhadap pelajar tanpa membebankan mereka.
FAKTOR  cara penyampaian pembelajaran dan pengajaran guru di dalam kelas juga adalah penting untuk melonjakkan lagi keserasian pelajar untuk menguasai algebra.
FAKTOR cara penyampaian pembelajaran dan pengajaran guru di dalam kelas juga adalah penting untuk melonjakkan lagi keserasian pelajar untuk menguasai algebra.
ADA pelajar yang mampu melihat potensi algebra untuk keperluan masa depan.
ADA pelajar yang mampu melihat potensi algebra untuk keperluan masa depan.
Susunan Ruhaiza Rusmin


Terdapat isu berbeza yang dilontarkan banyak pihak mengenai kepentingan memperkenalkan algebra lebih awal kepada pelajar sekolah.

Bagi pihak yang langsung tidak mempunyai pengetahuan akademik, mereka berpendapat pengenalan itu satu langkah wajar untuk mengikuti perubahan dunia yang serba pantas dengan keperluan membangunkan teknologi bagi mencetuskan idea lebih kompleks.

Mereka berpendapat, pengenalan algebra pada usia lebih muda (sekitar 10 hingga 14 tahun) tidak perlu dipersoalkan kerana golongan terbabit perlu diberi pendedahan awal supaya lebih mampu bersedia untuk masa depan.

Sebaliknya, ramai penyelidik dan pakar pendidikan berpendapat pelajar pada peringkat itu tidak seharusnya keterlaluan dipaksa untuk terus mahir dalam algebra.

Pada 2008, profesor pendidikan di California, Amerika Syarikat, Dr Bruce Mitchell mengulas pendapat yang dicetuskan seorang penyelidik pendidikan terkenal, Dr Herman Epstein.

Menurutnya, masa paling sesuai untuk memperkenalkan kepentingan algebra adalah pada usia 14 hingga 17 tahun kerana pada peringkat itu kemampuan otak mampu menerima konsep abstrak.

“Bagi ahli akademik atau mereka yang pakar dalam penyelidikan pendidikan, tindakan memberi paksaan kepada golongan ini dalam tempoh awal sangat tidak wajar.

“Pelajar muda ini seharusnya tidak keterlaluan ditekan supaya cemerlang dalam algebra tapi biarkan mereka meneroka apa saja subjek atau pengetahuan yang ada di sekeliling.

“Biarkan mereka belajar dengan cara sendiri tanpa tekanan. Paksaan untuk cemerlang dalam subjek tertentu hanya akan membuatkan mereka sangat tertekan dan mungkin menimbulkan implikasi lain pula,” katanya.

Dr Mitchell berkata, pelajar di peringkat itu juga sedang mencari kemampuan diri dengan melihat skop pengetahuan lebih luas.

“Pada peringkat ini, seharusnya mereka diberi bimbingan kepelbagaian subjek supaya mampu membina pemikiran kreatif dan kritis, bukannya menekankan pada satu subjek (algebra) semata-mata.

“Menekan pelajar ini dengan fokus yang keterlaluan akan menghancurkan masa depan dan kemungkinan juga akan menumbulkan rasa bosan apabila tiba waktu yang sesuai untuk mereka belajar algebra.

“Sesiapa pun tidak menafikan algebra subjek berkepentingan, namun ia juga tidak normal jika melalui proses pembelajaran dengan tekanan,” katanya.

Selepas mendengar perbalahan kedua-dua pihak, maka ibu bapa adalah pemutus utama yang bakal membuat keputusan iaitu sama ada menerima atau menolak saranan diberikan.

Pada masa sama, seorang pakar pendidikan matematik dan pembangunan kokurikulum di Stanford University, Amerika Syarikat, Dr Brodkey turut menyuarakan pandangannya.

Beliau berpendapat, dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, minat pelajar terhadap algebra sudah semakin tinggi.

“Ketika kita berbalah mengenai pendapat yang dilontarkan, pemerhatian dibuat mendapati minat pelajar terhadap algebra sudah semakin meningkat.

“Usia tidak lagi menjadi persoalan utama tapi pelajar ini melihat potensi algebra dengan pemikiran jauh lebih ke depan.

“Semakin ramai pelajar muda dapat menguasai atau berminat dengan subjek ini menjadikan pendapat kedua-dua belah pihak yang berbalah seperti tidak munasabah,” katanya.

Beliau juga berpendapat, ada ibu bapa yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada anak untuk mengikuti algebra walaupun pada usia tidak sepatutnya.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, kebimbangan ibu bapa terhadap kemampuan anak tidak terlalu memuncak seperti dua dekad lalu.

“Namun, ada faktor sampingan yang mesti diambil kira seperti cara penyampaian guru sewaktu di dalam kelas, senario persekitaran, rakan dan topik algebra yang diajar.

“Bagaimanapun, kita juga tidak dapat menolak ada ibu bapa yang memaksa anak mereka supaya lebih berusaha dengan alasan ia faktor utama pemilihan kemasukan ke institusi pengajian tinggi,” katanya.

Pada masa sama, Dr Brodkey juga tidak menafikan perbalahan kedua-dua pihak itu mampu mencetuskan konflik berpanjangan andai kata tiada penyelesaian dibuat.

“Masing-masing cuba menegakkan pendapat, menjadikan jalan penyelesaian terhadap kata putus masih tidak mampu dicapai.

“Sewajarnya ia tidak berlaku kerana dalam hal ini tiada siapa yang betul atau salah. Malah, perbalahan lebih memburukkan keadaan.

“Yang betulnya ialah membiarkan pelajar sendiri membuat pilihan kerana jika mereka ada kemahuan, pastinya soal menekan atau mendera tidak timbul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 1:33 PM