JANGAN pandang rendah pada pelajar aliran agama kerana mereka juga boleh mengikuti jurusan profesional dan elit seperti pelajar aliran sains. - Gambar hiasan
JANGAN pandang rendah pada pelajar aliran agama kerana mereka juga boleh mengikuti jurusan profesional dan elit seperti pelajar aliran sains. - Gambar hiasan
PELUANG merencana masa depan bagi pelajar aliran agama sentiasa terbuka luas. - Gambar hiasan
PELUANG merencana masa depan bagi pelajar aliran agama sentiasa terbuka luas. - Gambar hiasan
KEJAYAAN pelajar aliran sains di institusi pengajian tinggi juga sudah tidak boleh dipertikaikan malah kecemerlangan mereka juga mendapat pengiktirafan industri. - Gambar hiasan.
KEJAYAAN pelajar aliran sains di institusi pengajian tinggi juga sudah tidak boleh dipertikaikan malah kecemerlangan mereka juga mendapat pengiktirafan industri. - Gambar hiasan.
Oleh Ruhaiza Rusmin


Aliran agama? Adakah prospek masa depan, masuk universiti atau mendapat pekerjaan apabila tamat pengajian? Isu mengenai aliran agama di negara ini bukan isu baru, tetapi apabila memperkatakan mengenai perkara itu, inilah yang bermain di minda masyarakat kita.

Dianggap tidak segah aliran sains atau sastera, pelajar aliran ini sering kali berhadapan 'diskriminasi' pihak tertentu yang tidak yakin kemampuan mereka dalam aspek pencapaian diri dan akademik.

Ada menganggap, mereka hanya tahu pendidikan agama, kurang fasih berbahasa Inggeris, komunikasi dan sosial.

Lebih skeptikal, ada menganggap pelajar aliran ini hanya layak bergelar ustaz atau ustazah semata-mata.

Di manakah silapnya hingga pelajar aliran ini masih diragui kemampuan mereka sedangkan per­kembangan sekolah ini sudah melangkaui empat dekad?

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Zulkiple Abd Ghani berkata, masyarakat sendiri yang harus mengubah pandangan itu yang suka membandingkan kemampuan pelajar aliran agama dengan sains atau sastera.

Beliau berkata, jika mereka menganggap pelajar aliran agama kurang berdaya saing berbanding pelajar aliran lain, ini satu kesilapan besar.

"Memang biasa apabila ada pihak masih mengang­gap pelajar agama sebagai aliran kelas kedua yang tidak mampu memberi per­saingan kepada pelajar sains atau sastera.

"Ini satu tanggapan yang sama sekali tidak benar, malah boleh memberi impak serta menjejaskan pandangan orang lain.

"Hakikatnya, pelajar aliran agama hari ini bukan seperti era 1970-an. Mereka sudah ada pelbagai peningkatan yang me­ngagumkan, kejayaan yang cemerlang serta mungkin lebih baik daripada aliran lain," katanya.

Beliau berkata, masyarakat perlu mengubah tang­gapan bahawa pengajian aliran agama lebih kepada subjek agama semata-mata atau berakhir sebagai seorang ustaz atau ustazah.

"Itu adalah persepsi pertama yang akan terlintas di kebanyakan minda ma­syarakat sedangkan ia tidak tepat.

"Memang mereka me­ngambil aliran agama tapi bukan 100 peratus menumpukan perhatian pada subjek agama, sebaliknya ada juga mata pelajaran Geografi, Sains dan Matematik.

"Ini bukan sekolah agama seperti dulu tapi sekolah agama kebangsaan yang sudah diselaraskan silibusnya mengikut silibus kebangsaan," katanya.

Menurutnya, jika pelajar lain mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar aliran agama ada Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang melayakkan mereka menjejakkan kaki di menara gading.

"Jadi di manakah relevannya tanggapan mengatakan kehidupan pelajar sekolah agama akan berakhir sebagai ustaz atau ustazah?" katanya.

Beliau berpendapat, masyarakat perlu diberi lebih banyak maklumat me­ngenai aliran agama supaya mereka tidak lagi memandang serong potensi pelajar aliran itu.

"Jika maklumat diperoleh itu salah dan tidak diperbetulkan, mereka terus beranggapan aliran ini tidak mempunyai potensi melahirkan tenaga kerja berbentuk profesional," kata­nya.

Dr Zulkiple me­ngakui pada awal penubuhan sekolah aliran agama pada 1970-an, ia kurang mendapat sambutan kerana sistem pentadbiran tidak teratur dan kurang prasarana.

Bagaimanapun, kesedaran masyarakat yang semakin meningkat me­nyebabkan Kementerian Pelajaran pada masa itu berunding dengan kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia agar sistem pentadbiran dan kurikulum di sekolah agama diselaraskan dengan sekolah menengah harian.

Kebanyakan sekolah agama yang sebelum ini menitikberatkan Pengajian Islam dan Bahasa Arab turut menawarkan subjek seperti sekolah menengah harian.

Beliau berkata, sekitar 1970 an, kerajaan menjang­kakan hanya 10 peratus saja pelajar aliran agama berkeupayaan melanjutkan pengajian di IPT.

"Kini, bilangan itu melebihi sasaran dengan pening­katan berkali ganda manakala pelajar aliran agama yang mengikuti jurusan profesional juga meningkat.

"Malah, banyak institusi turut ditubuhkan bagi menampung pertambahan pelajar aliran agama dan universiti yang khusus untuk pelajar terbabit," katanya.

Beliau mengakui pelajar aliran ini mempunyai ba­nyak kelebihan.

"Antaranya, penguasaan bahasa. Jika pelajar lain mungkin boleh menguasai bahasa Melayu dan Inggeris, tapi mereka boleh menulis dan membaca bahasa Arab.

"Ditambah dengan elemen pengukuhan kemahiran serta jati diri, prospek masa depan mereka juga cerah serta laku di pasaran industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 7:52 AM