POLEMIK yang melanda ketiga - tiga subjek berkenaan perlu diselesaikan dengan ikhlas dan komprehensif supaya pelajar tidak berterusan menolak Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris hingga boleh mengganggu perancangan dibuat untuk masa depan. - Gambar hiasan
POLEMIK yang melanda ketiga - tiga subjek berkenaan perlu diselesaikan dengan ikhlas dan komprehensif supaya pelajar tidak berterusan menolak Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris hingga boleh mengganggu perancangan dibuat untuk masa depan. - Gambar hiasan
GUNAKAN pendekatan berbeza untuk memupuk minat terhadap sains sekali gus membantu melonjakkan lagi peratusan pelajar seperti mana disasarkan. - Gambar hiasan.
GUNAKAN pendekatan berbeza untuk memupuk minat terhadap sains sekali gus membantu melonjakkan lagi peratusan pelajar seperti mana disasarkan. - Gambar hiasan.
SEJAK dua dekad lalu, dunia penyelidikan sudah berada pada landasan betul dan berkemampuan melahirkan saintis yang berkepakaran dalam bidang sains . - Gambar hiasan.
SEJAK dua dekad lalu, dunia penyelidikan sudah berada pada landasan betul dan berkemampuan melahirkan saintis yang berkepakaran dalam bidang sains . - Gambar hiasan.
USAHA perlu dilakukan sejak awal bagi memupuk minat pelajar terhadap subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. - Gambar hiasan.
USAHA perlu dilakukan sejak awal bagi memupuk minat pelajar terhadap subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. - Gambar hiasan.
Oleh Ruhaiza Rusmin

Perbahasan mengenai subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dalam pendidikan negara masih berterusan terutama menyentuh isu memupuk kecenderungan pelajar serta kaedah lebih berkesan dalam pembelajaran dan pengajaran.

Lontaran idea bercampur unsur kebimbangan dalam membicarakan perkara itu dilihat bukanlah untuk mencari salah sesiapa, tapi bagi memastikan semua pelajar ataupun anak bangsa benar-benar mampu menguasai subjek berkenaan dan ilmu berkaitan dengannya.

Jika kita perhatikan, pelbagai usaha sudah dirancang dan dilakukan, tapi mengapa belum mampu menutup polemik itu dan memberikan keberkesanan yang optimum dalam menangani kelemahan sedia ada?

Malah, dengan kegagalan sasaran meningkatkan jumlah pelajar aliran sains sebanyak 60 peratus serta pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak lama dulu menjadikan persoalan berkenaan ibarat tiada jalan penyelesaian. Di mana silapnya?

Dekan Penyelidik Bersekutu, Bahan dan Pembuatan merangkap Pengarah Pusat Penyelidikan Membran Termaju, Universiti Teknologi Malaysia ( UTM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata semua subjek berkenaan perlu dilihat sebagai satu mekanisme penting yang boleh membantu pelajar untuk mendominasi kepakaran sains pada masa depan.

Menurutnya, polemik yang melanda ketiga-tiga subjek berkenaan perlu diatasi dengan ikhlas dan komprehensif bagi memastikan pelajar tidak menolak Sains dan Matematik serta kepentingan Bahasa Inggeris.

"Ketiga-tiga gabungan subjek ini sangat penting peranannya dalam merencanakan masa depan pelajar, masyarakat juga negara kita untuk jangka masa panjang.

"Ia bukan saja berperanan memperkasakan keupayaan dalam subjek berteraskan sains, formula juga bahasa, malah sebagai satu mekanisme menjadikan aspek kehidupan lebih bernilai di pasaran.

"Kukuhnya penguasaan dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris bermaksud akan berkembang maju semua aspek yang diperlukan dalam penyelidikan, sosial, ekonomi dan sebagainya," katanya.

Beliau yang juga Felo Akademi Sains Malaysia berkata, bukan mudah mahu menukar persepsi masyarakat yang menganggap Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris sebagai subjek sukar menarik minat pelajar.

Menurutnya, sasaran 60 peratus pelajar sains dan 40 peratus sastera yang disasarkan sebelum ini belum tercapai membuktikan bahawa persepsi yang salah lebih mendominasi minda pelajar berbanding kepentingannya pada masa depan.

"Selepas berusaha sekian lama, jumlah yang mengikuti aliran sains hanya di bawah 30 peratus dan ia masih jauh mengatasi sasaran ditetapkan.

"Kita masih sukar menukar tanggapan subjek Sains dan Matematik adalah subjek yang sukar.

"Tapi persoalannya, adakah kita juga sudah cuba untuk menangani masalah ini secara komprehensif? Adakah kita sudah melihat alternatif yang boleh dilakukan bagi memastikan ia boleh diatasi?" soalnya sambil menegaskan peratusan kurang 30 peratus adalah di tahap membimbangkan.

"Pendapat saya, pelajar tidak mahu membuat pilihan dalam aliran sains ini kerana kemungkinan boleh menjangkakan kesan masa panjang dalam bidang ini.

"Contohnya, beranggapan subjek ini hanya untuk mereka yang terpilih dan pandai saja ataupun tidak dapat melihat potensinya yang menyerlah dalam penyelidikan dan teknologi, menyebabkan mereka cuba menjauhkan diri dengan mewujudkan jurang serta pelbagai alasan," katanya.

Beliau juga tidak menafikan wujud persepsi mengatakan bidang sains kurang mampu memberi pulangan lumayan dari segi kewangan selepas menamatkan pengajian.

"Ini juga salah satu halangan utama yang perlu dirungkai. Persepsi seperti benarkah sains sukar memberikan peluang pekerjaan, gajinya tidak lumayan dan sebagainya mesti diberikan penerangan sewajarnya.

"Semua persepsi ini memerlukan perbincangan dan tindakan bersepadu untuk mengatasinya, sekali gus memupuk pemahaman dan minat lebih mendalam," kata Dr Ahmad Fauzi.

Beliau tidak menolak kemungkinan konflik yang berlaku boleh merencatkan usaha dan perancangan negara untuk melahirkan lebih ramai saintis yang cemerlang dalam bidang penyelidikan.

"Bayangkan, kita sudah ada lima universiti penyelidikan yang semakin mendapat pengiktirafan dunia. Kita juga ada saintis yang sudah melakar nama di peringkat antarabangsa.

"Jika kepincangan ini tidak diatasi dari sekarang, apakah yang akan berlaku kepada setiap perancangan dibuat, sedangkan kita sudah berada pada landasan tepat untuk bergelar negara maju?

"Satu realiti yang perlu kita akui, persekitaran penyelidikan kita sudah semakin rancak dan melalui pelbagai transformasi berbeza sejak dua dekad lalu.

"Sekiranya tindakan tidak diambil, bagaimana kita mahu melahirkan lebih ramai saintis, penyelidik ataupun mencipta inovasi berimpak tinggi serta menjadikan negara ini negara maju menjelang 2020," katanya.

Untuk itu, beliau menyarankan agar semua pihak bersikap ikhlas dalam menangani kemelut yang melanda ketiga-tiga subjek berkenaan.

"Tolak ke tepi semua ketidaksamaan pendapat tapi cari satu jalan penyelesaian untuk kebaikan bersama demi pelajar kita.

"Perbalahan tidak akan membantu menyelesaikan masalah mengapa pelajar kurang meminati subjek ini.

"Perbincangan dan sikap saling memahami akan dapat merungkai banyak isu mengapa pelajar kita kurang meminati Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:04 AM