Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: AmBank (M) Bhd (AmBank) menjangkakan segmen pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang kepada dua angka tahun ini berbanding RM12 bilion dicatatkan pada tahun lalu bersandarkan kerjasama pembiayaan dengan rakan niaga dan pertumbuhan positif PKS di Malaysia.

Setakat tahun lalu, segmen pembiayaan PKS AmBank menyumbang 14 peratus kepada keseluruhan perniagaan pembiayaan dan 25 peratus kepada perbankan pemborongan.

Pengarah Urusan Perbankan Borongnya, Pusha Rajadurai berkata, pengenalan produk baru di bawah segmen pembiayaan juga mendorong perkembangan segmen pembiayaannya dan terkini AmBank memperkenalkan AmBank BizSolutions yang ditawarkan penyelesaian pembiayaan dan bukan pembiayaan disesuaikan bagi syarikat komersial dan PKS.

Beliau berkata, antara produk dan penyelesaian di bawah BizSolutions Ambank adalah BizSolutions Creadit Guarantee Malaysia Bhd (CGC) Portfolio Guarantee (PG).

“Dengan PKS sebagai daya penggerak ekonomi Malaysia, penyelesaian pembiayaan ini boleh disesuaikan melalui pembiayaan aset yang paling mudah sehingga modal kerja am dan termasuk pembiayaan projek yang khusus.

“Ia bukan sekadar urusniaga harian, Ambank Solution mampu menyediakan penyelesaian untuk pengurusan aliran tunai anda dan juga menguruskan urusan pemiutang dan penghutang anda,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara Ambank dan CGC, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Esekutif CGC, Mohd Zamree Ishak dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim.

Menerusi kerjasama itu, CGC dan AmBank komited melaksanakan pembiayaan berjumlah RM300 juta kepada lima sektor utama iaitu perdagangan borong dan runcit, pembuatan, pendidikan, kesihatan, pembinaan dan perkhidmatan.

Sektor berkenaan tertaluk di bawah Pelan Induk PKS 2012-2020 yang mempunyai potensi dalam pertumbuhan yang mana Malaysia mempunyai kelebihan komparatif serta berdaya saing dengan kesan penggandaan yang tinggi.

Lima sektor itu juga boleh mendapat jumlah pembiayaan yang tinggi sehingga RM300 juta dengan tempoh pinjaman sehingga lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 8:09 AM