MOHD Zamree (empat dari kiri) bersama Sulaiman (lima dari kiri) bergambar selepas Majlis Pelancaran SME Biz Start Up-I, di Bangunan AmBank Group, di Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib
MOHD Zamree (empat dari kiri) bersama Sulaiman (lima dari kiri) bergambar selepas Majlis Pelancaran SME Biz Start Up-I, di Bangunan AmBank Group, di Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib
Hazwan Faisal Mohamad


AMBANK (M) Bhd bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menawarkan pembiayaan untuk syarikat pemula menerusi SME Biz Start Up-i.

Pembiayaan yang julung kali diperkenalkan oleh syarikat perbankan itu menawarkan sejumlah RM30 juta pembiayaan bermula dari RM30,000 hingga RM300,000 kepada syarikat pemula yang layak dengan 70 peratus pembiayaan itu dijamin oleh CGC.

Kemudahan patuh syariah berkenaan disasarkan kepada syarikat pemula yang sudah memulakan perniagaan di antara setahun hingga tiga tahun dan kekurangan cagaran serta akses kepada pembiayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, AmBank komited memberi sokongan kepada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di setiap peringkat perniagaan.

Katanya, dengan pengenalan kemudahan terbaharu itu, pihaknya berupaya menyediakan PKS dengan modal kerja diperlukan bagi tujuan mengembangkan pertubmuhan perniagaan mereka.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan CGC dalam menangani masalah keperluan pembiayaan di kalangan PKS yang juga adalah tulang belakang ekonomi.

“Setakat ini, sebanyak lapan syarikat pemula sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pembiayaan daripada kemudahan ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kemudahan pembiayaan SME Biz Start Up-i dan Skim Jaminan Portfolio untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berjumlah RM500 juta di Menara AmBank di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak.

Sementara itu Mohd Zamree berkata, skim Jaminan Portfolio RM500 juta yang diperkenalkan pada 2018 oleh AmBank hampir sepenuhnya digunakan yang memberi manfaat kepada lebih daripada 600 PKS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 6:53 PM