SISWA UTeM bantu komuniti atau sekolah luar bandar pasang capaian internet berkualiti.
SISWA UTeM bantu komuniti atau sekolah luar bandar pasang capaian internet berkualiti.
Suliati Asri


PELUANG mencurah bakti kepada komuniti adalah sesuatu yang cukup dinantikan dan bermakna buat siswazah serta mahasiswa.

Apatah lagi program yang dilaksanakan itu memerlukan mereka menggunakan kemahiran terutama berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dipelajari di bilik kuliah di lapangan.

Ia bukan saja memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan segala ilmu yang dipelajari, tetapi turut mendapat ilmu tambahan yang hanya terdapat di lapangan.

Hal ini secara tidak langsung membuktikan bahawa ilmu kemahiran yang dimiliki pelajar itu sangat berharga walau di mana jua mereka berada.

Bagi pelajar tahun tahun tiga Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Mustaqim Hakimi Shamsudin, program khidmat komuniti yang disertainya baru-baru ini adalah peluang yang cukup berharga buatnya.

Katanya, walaupun program itu diadakan bertujuan membantu komuniti atau sekolah mendapat akses capaian internet berkualiti, tetapi ia juga memberi nilai tambah kepada dirinya dan rakan-rakan lain.

"Sepanjang program itu berlangsung, saya menggunakan segala ilmu terutama teori yang dipelajari diaplikasikan di lapangan bagi membantu komuniti.

ANGKHANA (kiri) bergambar bersama pensyarah dan rakan-rakan yang menjayakan program komuniti.
ANGKHANA (kiri) bergambar bersama pensyarah dan rakan-rakan yang menjayakan program komuniti.

"Ia adalah satu pengalaman yang cukup bermakna buat saya. Ini kerana saya boleh menggunakan ilmu kemahiran yang ada untuk membantu komuniti walaupun masih bergelar pelajar," katanya.

Berkongsi pendapatnya mengenai pembabitan pelajar dan belia dalam bidang kemahiran katanya, dengan ilmu kemahiran ia menjadikan diri seseorang itu lebih kehadapan.

"Dengan keadaan dunia yang semakin berkembang maju, kemahiran adalah aset penting dan ia juga sangat diperlukan bukan saja kepada pelajar, tetapi semua orang kerana ia membantu dalam kehidpan seharian.

"Oleh itu, adalah tidak rugi bagi sesiapa yang mengikuti program kemahiran terutama yang berkaitan dengan elektronik komunikasi seperti yang saya pelajarinya kini," katanya.

Ditanya mengapa dia memilih program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian (Telekomunikasi), Mustaqim berkata, bidang itu sangat dekat dengannya.

PELAJAR FKEKK UTeM memasang antena komunikasi.
PELAJAR FKEKK UTeM memasang antena komunikasi.

Akuinya, secara jujur memang berbaloi mengambil bidang yang diceburinya kini kerana sepanjang pengajian dia mendapat ilmu yang dia sendiri tidak pernah terpikir terutama berkaitan komunikasi.

Ini kerana, setiap hari ada ilmu baharu yang dipelajari dan pastinya sanagt bermanfaat.

"Oleh itu, saya sangat menggalakkan mereka terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil bidang kemahiran atau kejuruteraan elektronik kerana bidang ini berjalan seiring dengan kehidupan kita.

"Teknologi kita kini semakin berkembang pesat. Justeru, menerusi bidang ini secara tidak langsung kita juga akan terdedah dengan teknologi baharu berbanding apabila mengambil program lain.

"Dalam masa sama, dengan kemahiran ini juga walaupun kita masih bergelar pelajar dan menimba ilmu, kita sudah dapat mengaplikasikan kemahiran yang ada dalam kehidupan kita," katanya.

PELAJAR  FKEKK  UTeM membuat kerja pemasangan penghala wayarles beserta antena luaran.
PELAJAR FKEKK UTeM membuat kerja pemasangan penghala wayarles beserta antena luaran.

Mustaqim adalah seorang daripada sekumpulan pelajar dan pensyarah UTeM yang menjalankan projek khidmat komuniti dengan melaksanakan kerja pemasangan penghala wayarles beserta antena luaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum, Merlimau Melaka, baru-baru ini.

Berteraskan sifat cakna dan prihatin mereka mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang ada bagi tujuan memastikan anak-anak bangsa di desa turut dapat nikmati capaian internet bagi tujuan pembelajaran.

Projek khidmat komuniti itu diketuai Profesor Madya Dr Imran Mohd Ibrahim dan tujuh pelajar dari FKEKK UTeM.

Dr Imran berkata, misi utama projek ini adalah memastikan sekolah ini mendapat capaian internet yang baik bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berorientasikan akses internet dapat dilaksanakan.

"Penggunaan penghala wayarles ini pilihan yang terbaik kerana ia lebih menjimatkan perbelanjaan kepada pihak sekolah memandangkan mereka boleh menggunakan kad sim mana-mana syarikat telekomunikasi beserta pakej data yang dirasakan sesuai dengan keperluan pembelajaran.

MUSTAQIM memasang antena komunikasi.
MUSTAQIM memasang antena komunikasi.

"Projek ini juga menjadi serampang dua mata terutama pelajar kerana program ini bukan sahaja mencurahkan khidmat komuniti, malah ia turut menjadi platform pendedahan awal kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) wayarles yang semakin tinggi keperluannya pada masa kini," katanya.

Program itu juga tidak terhenti setakat in sahaja kerana program susulan bersama pihak sekolah dirancang seperti peluang kerjaya dalam bidang kejuruteraan termaju serta program inovasi teknologi bagi memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Sementara itu, bagi Angkhana Tong yang juga pelajar tahun tiga Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian berkata, program ini memberi peluang kepadanya bukan saja untuk mencurah bakti kepada komuniti, tetapi dapat mengasah bakatnya dalam bidang yang dipelajarinya.

"Sebagai pelajar, apabila diberi peluang untuk mengikuti program komuniti seperti ini, ia adalah satu peluang keemasan.

"Selain membantu, dalam masa sama saya boleh mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam bilik kuliah terus di lapangan selain dapat memperoleh banyak cabang ilmu.

PELBAGAI ilmu tambahan yang diperoleh pelajar apabila menyertai program komuniti .
PELBAGAI ilmu tambahan yang diperoleh pelajar apabila menyertai program komuniti .

"Pensyarah juga banyak membantu, sekali gus memberikan ilmu tambahan melalui aktiviti yang dijalankan dan tidak diperoleh dalam bilik kuliah," katanya.

Ditanya mengapa dia memilih bidang kejuruteraan elekotonik komunikasi, jawab Angkhana, sejak di bangku sekolah, dia sangat meminati bidang kemahiran dan kejuruteraan.

"Saya mengambil bidang elektronik komunikasi pula banyak benda baharu yang boleh dipelajari setiap hari terutama dalam keadaan dunia yang semakin pesat membangun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 6:20 AM