PROGRAM bersama industri.
PROGRAM bersama industri.
Suliati Asri

MERUJUK kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, definisi Universiti adalah tempat memberi pelajaran tinggi dalam berbagai-bagai bidang dan mengadakan penyelidikan ilmiah.

Ia juga adalah 'sekolah tinggi' yang menjadi gedung ilmu terutama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pengajian.

Menerusi kepelbagaian bidang yang terdapat di universiti, ada yang beranggapan ilmunya hanya eksklusif untuk dalam universiti saja. Benarkah?

Jika tidak, bagaimana pihak universiti kongsi ilmu dengan komuniti sekali gus memasyarakatkan universiti?

Pensyarah Kanan Pengurusan Sumber Manusia Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia UPM), Dr Rosmah Mohamed berkata, universiti bukan sahaja tempat untuk melahirkan graduan yang berpengetahuan tinggi dalam bidang yang dipilih bahkan tempat untuk melahirkan graduan yang berakhlak mulia, bertanggungjawab, mampu mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada kesejahteraan komuniti serta negara.

Ini bermakna ketika berada di universiti, mahasiswa dibekalkan dengan pelbagai sumber supaya mereka boleh belajar dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif dan seterusnya berjaya mencapai matlamat pendidikan negara.

HASIL sesi perkongsian ilmu mengenai pembungkusan produk bersama usahawan kecil.
HASIL sesi perkongsian ilmu mengenai pembungkusan produk bersama usahawan kecil.

"Salah satu sumber yang dimaksudkan ialah program di luar kelas seperti program bersama industri dan komuniti.

"Pihak universiti memerlukan industri dan komuniti sebagai platform untuk pelajar memperoleh pengalaman dari organisasi perniagaan sebenar serta membuat perbandingan antara teori selain realiti," katanya.

Sebagai contoh, bagi kursus Pengurusan Sumber Manusia, pelajar akan didedahkan dengan konsep, teori dan amalan-amalan dalam pengurusan sumber manusia seperti perancangan sumber manusia, analisis pekerjaan, pengambilan dan pemilihan pekerja, latihan dan pembangunan pekerja, penilaian prestasi, ganjaran, dan keselamatan pekerjaan.

Selain daripada kuliah, perbincangan dan latihan kajian kes di dalam kelas, mahasiswa juga dikehendaki membuat tugasan projek secara berkumpulan yang membabitkan industri.

Kata Dr Rosmah antara tujuan tugasan projek berkumpulan ini adalah untuk memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mengenai keadaan sebenar bagaimana pengurus di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia menjalankan aktiviti sumber manusia harian mereka.

"Apa yang harus dilakukan mahasiswa†ialah mereka dikehendaki menghubungi sendiri pengurus di Jabatan Sumber Manusia dari organisasi perniagaan sebenar yang terpilih dan menjalankan temu bual bersama pengurus berkenaan serta beberapa orang pekerja.

"Kemudian, mahasiswa diminta membuat perbincangan dalam kumpulan dan menganalisis maklumat yang diperoleh daripada pengurus dan pekerja-pekerja terbabit. Pelajar juga dikehendaki membuat laporan bertulis dan berkongsi hasil projek dengan pelajar lain melalui sesi pembentangan ketika kelas," katanya.

Menurutnya, menerusi kaedah pengajaran itu, mahasiswa bukan sahaja dapat mempelajari konsep, teori dan amalan pengurusan sumber manusia semasa di dalam kelas, malahan mereka dapat mempelajari aktiviti pengurusan sumber manusia daripada pemain industri sebenar.

TIDAK hanya berkongsi ilmu, pelajar juga dapat meningkatkan keupayaan berkomunikasi secara lebih berkesan dan dapat membina keyakinan diri dengan program komuniti yang diadakan.
TIDAK hanya berkongsi ilmu, pelajar juga dapat meningkatkan keupayaan berkomunikasi secara lebih berkesan dan dapat membina keyakinan diri dengan program komuniti yang diadakan.

"Apa yang dipelajari ketika dalam kelas dengan di organisasi sebenar mungkin berbeza.

"Jadi, pada masa inilah mahasiswa harus bijak menggunakan pengetahuan dan kemahiran berfikir secara kritikal untuk memberi penerangan mengenai perbezaan dalam penemuan baharu terbabit," katanya.

Di samping itu, kata Dr Rosmah, melalui tugasan projek berkumpulan dengan organisasi perniagaan sebenar ini, mahasiswa dapat meningkatkan keupayaan mereka untuk berkomunikasi dengan orang luar secara lebih berkesan serta dapat membina keyakinan diri.

Selain daripada program bersama industri, universiti juga ada membuat program bersama komuniti setempat untuk pelajar.

Contohnya, pelajar dikehendaki membuat sesi perkongsian ilmu mengenai pembungkusan produk yang menarik dan berkesan kepada usahawan-usahawan kecil dan sederhana dalam kalangan komuniti setempat yang dipilih terlebih dahulu dan membantu mereka memperbaiki pembungkusan yang sedia ada.

"Impak program ini dapat dilihat apabila usahawan-usahawan terbabit mampu memperbaiki dan menggunakan pembungkusan yang baharu serta berkongsi semula ilmu baharu yang peroleh dari pelajar dengan usahawan yang lain dalam komuniti mereka.

"Program ini dapat mengembangkan bakat pelajar untuk berkomunikasi dengan komuniti. Pelajar juga dapat pengalaman secara langsung dengan komuniti dan belajar bagaimana hendak menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan berkesan," katanya.

Kesimpulannya, program bersama industri dan komuniti yang dibekalkan oleh pihak universiti kepada pelajar sangat memberi faedah bukan sahaja kepada pelajar dan universiti malahan juga kepada industri serta komuniti.

"Maka, persepsi yang mengatakan universiti hanya berkongsi ilmu secara ekslusif dengan pelajar sahaja adalah kurang tepat kerana universiti sentiasa membabitkan industri dan komuniti dalam proses pembelajaran pelajar menerusi pelaksanaan program yang dirancang secara sistematik sepanjang tahun," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 7:01 AM