AFP

Stuttgart, Jerman: Bintang Romania, Simona Halep (gambar) melupakan seketika ancaman bunuh yang diterima daripada seorang pengintip untuk menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan WTA Stuttgart apabila menumpaskan pemain Itali, Sara Errani, kelmarin.

Simona, 23, yang menduduki ranking ketiga dunia, menerima ancaman bunuh menerusi laman sosial Twitter Khamis lalu dari seorang peminat Denmark.

Penganjur kejohanan Stuttgart mengesahkan kawalan keselamatan terhadap pemain itu dipertingkatkan.

“Saya tidak boleh komen mengenainya. Saya ke sini untuk bermain tenis. Orang lain akan menguruskannya,” kata Simona selepas menang 6-4, 6-4 ke atas Sara pada suku akhir di atas gelanggang tertutup tanah liat.

Peminat yang terlalu taksub itu dipercayai menghantar beberapa siri mesej menerusi laman sosial.

Pemain Romania itu tidak menunjukkan tanda-tanda terganggu dengan ugutan yang diterima apabila melakarkan kemenangan sekali gus menyaksikan dia akan mengambil alih kedudukan Maria Sharapova sebagai pemain kedua dunia apabila ranking terbaru dikeluarkan esok.

“Ia satu perlawanan yang sukar, dia bertahan dengan baik dan sukar untuk menamatkan mata ketika menentangnya,” kata Simona.

“Kini saya tidak sabar untuk beraksi di separuh akhir.”

Simona, naib juara Terbuka Perancis 2014, kini akan menentang bekas pemain nombor satu dunia dan peminat tinju Caroline Wozniacki selepas pemain Denmark itu menundukkan pemain Sepanyol, Carla Suarez Navarro 6-0, 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:01 AM