Aksi pemain Romania, Simona Halep ketika berdepan Danka Kovinic dari Montenegro dalam saingan Terbuka Australia. FOTO AFP
Aksi pemain Romania, Simona Halep ketika berdepan Danka Kovinic dari Montenegro dalam saingan Terbuka Australia. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Bekas pemain nombor satu dunia, Simona Halep mara ke saingan 16 terakhir apabila mudah mengatasi Danka Kovinic di Kejohanan Tenis Terbuka Australia, hari ini.

Juara dua kali Grand Slam itu memanfaatkan pengalamannya untuk mengatasi pemain di ranking 98 dunia dari Montenegro, 6-2, 6-1 pada saingan pusingan ketiga dekat John Cain Arena.

Simona akan berdepan pemain veteran dari Perancis, Alize Cornet yang menewaskan pemain Slovenia yang juga pilihan ke-29, Tamara Zidansek 4-6, 6-4, 6-2 sekali gus meneruskan aksi cemerlang selepas mengejutkan pemain nombor tiga dunia, Garbine Muguruza di pusingan kedua.

"Saya rasa sangat bagus dapat beraksi untuk peringkat seterusnya sekali lagi. Saya sentiasa gembira beraksi di Australia jadi disebabkan itu saya bermain dengan baik," kata Simona.

"Ya menghampiri prestasi terbaik. Saya dapat rasakan saya beraksi dengan baik, dia kelihatan agak kepenatan, dia berdepan perlawanan sukar sebelum menentang saya.

"Namun sentiasa ada cabaran besar untuk berada di atas gelanggang dan disebabkan itu perlu berikan prestasi terbaik.

"Saya sangat gembira dengan persembahan saya dan saya tidak sabar untuk beraksi pada peringkat seterusnya."

Sensasi Romania itu melangkah ke kejohanan berkenaan dengan penuh keyakinan selepas merangkul kejuaraan pertamanya dalam tempoh 16 bulan di Melbourne Summer Set.

Simona pilihan ke-14 menguasai perlawanan berdepan Danka yang mengecewakan juara Terbuka Amerika Syarikat, Emma Raducanu untuk mara ke pusingan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 11:52 AM