Bintang tenis Romania, Simona Halep gagal meneruskan saingan di Cincinnati. FOTO AFP
Bintang tenis Romania, Simona Halep gagal meneruskan saingan di Cincinnati. FOTO AFP
AFP

Cincinnati: Simona Halep menarik diri daripada perlawanan pusingan kedua di WTA Cincinnati Masters semalam, kerana mengalami kecederaan peha kanan.

Pemain pilihan kelima dari Romania itu berdepan Jessica Pegula dari Amerika Syarikat (AS) tetapi terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan pada pusingan terdahulu ketika menang ke atas pemain Poland, Magda Linette.

"Selepas berasa kesakitan yang amat sangat pada paha kanan pada perlawanan semalam, saya memanggil anggota fisio dan membalut kecederaan itu namun ia tidak membantu untuk meneruskan perlawanan dan mencatat menang." kata Simona.

"Malangnya imbasan pagi ini menunjukkan saya mempunyai kecederaan dan ia terlalu berisiko untuk terus beraksi pada hari ini.

"Saya akan berehat dan melakukan segalanya yang perlu untuk persediaan di Terbuka AS. Kepada peminat di Cincy, sangat indah dapat melihat kehadiran anda semula."

Keadaan itu membolehkan Jessica mara ke pusingan ketiga kejohanan.

Simona baru sahaja beraksi semula di gelanggang selepas mengalami kecederaan di Rom, Mei lalu yang turut menyaksikan dia terlepas saingan di Roland Garros, Wimbledon dan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 9:11 AM