Oleh Neelofa

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Minggu ini Lofa nak bercerita mengenai semangat baru Lofa dalam dunia seni lakonan.

Umum tahu Lofa jarang muncul di televisyen. Kalau muncul pun lebih kepada aktiviti pengacaraan hingga ramai bertanya, memang Lofa dah tak nak berlakon ke? Atau Lofa sangat memilih dalam karier lakonan?

Bagi menjawab persoalan anda semua, jawapannya ialah faktor masa yang membataskan Lofa untuk aktif berlakon.

Tapi alhamdulillah, 2015 akan menjadi tahun untuk Lofa kembali memberi tumpuan kepada bidang lakonan.

Sekarang sedang rancak ditayangkan, filem Pilot Cafe. Walaupun filem ini sebenarnya menjalani penggambaraan sekitar 2013, sekurang-kurangnya Lofa dapat jadikan ia satu tanda, kembalinya Lofa dalam dunia lakonan. Terbaru, Lofa akan tampil dengan telefilem Lukisan Takdir - Rindu Tidak Bertepi arahan Azma Aizal Yusoof untuk slot Cerekarama di TV3. Bergandingan bersama Aiman Hakim Ridza, pastinya satu cabaran besar buat Lofa memandangkan ini kali pertama Lofa berganding bersama.

Jujur, sebenarnya perasaan Lofa sangat bercampur baur. Teruja sebab ini kali pertama bekerjasama de­ngan Aiman dan pengarah. Gementar pula memandangkan dah lama sangat Lofa tak berlakon. Tambah pula telefilem ini bakal disiarkan menerusi TV3 yang mempunyai jumlah penonton yang tinggi, jadi ia makin membuatkan Lofa gementar.

Setiap pelakon pasti ada cara tersendiri bagi meningkatkan kualiti dan keupayaan lakonan mereka. Tidak terkecuali Lofa. Bezanya, Lofa lebih selesa memilih mendaftarkan diri di kelas lakonan kelolaan seorang sahabat Lofa.

Mungkin ada yang beranggapan lakonan adalah kerjaya yang senang, jadi kenapa perlu ke kelas lakonan? Bagi Lofa, anggapan anda semuanya sangat tidak tepat. Tahu tak, kerjaya sebagai pelakon sebenarnya sangat susah, tambah lagi lakonan sesuatu perkara yang sangat subjektif dan sentiasa berubah. Ada orang mungkin suka dengan lakonan kita, ada orang pula mungkin tidak.

Bagi memastikan Lofa tidak mensia-siakan kepercayaan diberi produksi dan stesen TV3, tampillah Lofa dengan inisiatif itu. Objektif utama Lofa untuk mengatasi kekurangan dalam lakonan Lofa. Alham­dulillah, saat artikel ini dihasilkan, Lofa berkesempatan menghadiri kelas itu beberapa kali. Bagi Lofa, proses pembelajaran adalah satu proses berterusan. Tidak semestinya sebaik menang anugerah, sese­orang itu tidak perlu belajar menjadi pelakon lebih baik.

Ditambah pula dengan faktor kemunculan ramai bakat baru, sangat molek jika setiap pelakon sentiasa memperkemaskan kemahiran lakonan masing-masing.

Lofa ingin berkongsi cerita di sebalik tabir peng­gambaran Lukisan Takdir - Rindu Tidak Bertepi. Banyak sangat yang Lofa pelajari melalui telefilem ini. Paling menyeronokkan apabila dapat bekerjasama dengan pengarah yang sangat tidak lokek dengan ilmu serta terbuka dalam menerima pandangan.

Bagi Lofa, Azma Aizal Yusof boleh dikategorikan pengarah ‘sporting’ memandangkan kesudiannya bertoleransi dalam beberapa hal berkaitan jalan cerita telefilem ini.

Sebagai contoh, ada satu babak bersentuhan tangan yang Lofa rasakan tidak sesuai untuk Lofa lakonkan. Mungkin kerana memahami penampilan Lofa, beliau segera menukar sedikit jalan cerita supaya ia lebih kena dengan diri Lofa.

Lukisan Takdir - Rindu Tidak Bertepi menceritakan seorang wanita berkahwin yang terperangkap di dalam situasi di mana dia lebih dominan berbanding suaminya. Mempunyai kerjaya lebih besar dan sebagainya, perkara ini sedikit sebanyak mengganggu gugat bahtera perkahwinan yang mereka bina.

Melalui sinopsis cerita ini, pasti anda dapat meng­agak jenis karakter yang dibawa Lofa, bukan? Sarat dengan permainan emosi. Bukan senang nak menjiwai watak yang penuh dengan mainan emosi.

Alhamdulillah, mungkin berkat kerjasama teman produksi yang sangat membantu, segala-galanya dipermudah. Hasilnya, jangan lupa tonton nanti, ya.

Semua orang pasti mempunyai idola dalam bidang masing-masing dan dalam bidang lakonan, Lofa sangat mengagumi Ellie Suriaty. Bagi Lofa, Kak Ellie pelakon yang sangat berkaliber dan mempunyai

aura tersendiri.

Campaklah apa jua skrip sekalipun, pasti Kak Ellie mampu jayakan. Paling dekat di hati Lofa, pastinya lakonan dari drama air mata beliau. Lofa berharap sangat satu hari nanti Lofa berpeluang menimba ilmu dan bekerjasama dengan kak Ellie.

Sebenarnya, banyak lagi projek terbaru Lofa tengah usahakan. Menanti selepas ini, ada satu drama bersama pengarah Michael Ang.

Apabila sebut Michael Ang, mesti rata-rata peminat karya beliau memahami jenis sentuhan dan genre kegemarannya.Ya, drama berunsur romantik komedi. Boleh ke Lofa berlakon drama genre komedi? Nak tahu, nantikanlah di Astro tidak lama lagi.

Walaupun 2015 memperlihatkan Lofa kembali aktif dalam bidang lakonan, ini tidak bermakna Lofa akan memperlahankan karier pengacaraan. Semua masih sama, cuma Lofa akan lebih sibuk daripada biasa, usahanya juga akan berganda daripada kebiasaan.

Harapan Lofa semoga peminat semua doakan Lofa kuat dan mampu beri hasil terbaik buat anda semua kerana melalui sokongan dan kritikan anda semua, Lofa akan tahu di mana sebenarnya kemampuan Lofa buat masa ini. Sehingga bertemu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 1:47 AM