Oleh Neelofa

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Hari yang indah buat kita semua selepas beberapa minggu berdepan masalah jerebu.

Alhamdulillah! Cuaca bertambah baik dan urusan kehidupan seharian kita semua kembali normal. Harapan Lofa semua orang bersemangat menjalani kehidupan.

Sebut pasal semangat, kalau anda semua membaca Nota Neelofa minggu lalu, pasti anda tahu mengenai projek terbaru yang Lofa usahakan bersama rakan kerja Lofa kan?

Bagi yang terlepas membaca, kalau anda nak tahu sekarang ini Lofa sibuk menjalani penggambaran untuk siaran YouTube yang akan Lofa lancarkan tidak lama lagi.

Pastinya ini cabaran yang sangat baru buat diri Lofa memandangkan sebelum ini pembabitan Lofa hanya terhad sekadar di hadapan lensa kamera.

Syukur, Rabu lalu Lofa selamat merakam episod pertama projek untuk laman sosial ala mini TV Lofa itu. Namun untuk hari ini, Lofa tidak mahu bercerita mengenai pengisian episod yang selamat dirakamkan, sebaliknya Lofa mahu berkongsi cerita mengenai belakang tabir dan pengalaman Lofa bekerja untuk penggambaran siaran saluran YouTube Lofa sendiri.

Teruja dan menyeronokkan. Itulah kesimpulan yang dapat Lofa ceritakan mengenai pengalaman pertama terbabit secara langsung dalam penggambaran program YouTube.

Projek ini antara impian Lofa yang sudah lama dirancang. Bulan ini, ia berjaya direalisasikan jadi perasaan teruja itu tidak dapat Lofa sembunyikan.

Ini projek pertama yang akan menggunakan medium YouTube NeelofaTV dan ia satu cara untuk Lofa lebih mengenali dan mendekatkan diri dengan peminat.

Lofa melihat industri digital Malaysia mempunyai potensi tinggi untuk berkembang dengan lebih pesat dan jauh lagi.

Tipu kalau Lofa katakan Lofa tidak teringin melihat apa yang Lofa kerjakan sekarang ini disiarkan di televisyen, tetapi menyedari hakikat yang Lofa perlu cipta kepercayaan itu terlebih dahulu dan pada waktu sama Lofa jadi lebih bersemangat untuk menerokai industri digital tempatan.

Lagipun, jika diperhatikan saban hari semakin banyak individu memilih saluran digital sebagai sumber hiburan dan memperoleh maklumat. Jadi tidak salah andai kata fokus Lofa sekarang ini lebih kepada menguasai pasaran digital terlebih dahulu.

Pengalaman membabitkan diri secara tidak langsung dalam penggambaran program YouTube membuatkan Lofa menjadi lebih sensitif dan peka.

Lofa sedar betapa sukarnya menerbitkan sebuah video walaupun hanya berdurasi lima minit. Ia membuka mata Lofa supaya selepas ini melihat sebuah karya yang diterbitkan sebagai satu seni yang tidak ternilai tanpa mengambil kira tanggapan mahupun stigma orang lain.

Setiap orang pasti mempunyai piawaian tersendiri akan apa itu ‘kualiti’. Bagi Lofa, semua yang terhasil mempunyai kualiti yang tersendiri. Bezanya, tahap penilaian kita.

Lofa bersyukur kerana dikelilingi mereka yang sangat membantu, tidak kira dari segi percambahan idea mahupun pertolongan tenaga kudrat.

Semestinya sebagai orang baru yang baru berjinak-jinak dalam dunia penerbitan video, pasti sedikit kekurangan di sana sini. Di sinilah Lofa dapat lihat betapa pentingnya mempunyai ramai kenalan dari pelbagai bidang.

Alhamdulillah, ramai menyokong team produksi yang didukungi oleh sahabat baik Lofa.

Jika ditanya, besar harapan Lofa terhadap projek terbaru ini. Harapan Lofa supaya pembaca dan peminat setia Lofa dapat memberi sokongan kepada hasil kerja rakan baik Lofa ini.

Sebagai orang baru, banyak lagi perkara yang Lofa dan kru penerbitan perlu pelajari. Apabila tiba masanya Lofa lancarkan projek terbaru ini, Lofa harapkan komen yang konstruktif daripada anda semua.

Sehingga bertemu lagi di ruangan Nota Neelofa pada minggu hadapan, dengan bermacam lagi kisah diri dan orang sekeliling Lofa, jaga diri dan assalamualaikum.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 1:27 AM