Oleh Neelofa

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Alhamdulillah, pejam celik, pejam celik, kita sudah memasuki bulan Mac. Macam baru sekejap saja kita menyambut kedatangan 2015 dengan penuh kegembiraan. Sedar tidak sedar, begitu pantas masa berlalu.

Diharapkan, dua bulan yang berlalu pergi dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Alhamdulillah bagi Lofa, tempoh dua bulan lalu semuanya tenang dan indah-indah saja.

Pembaca tengok tak Anugerah Meletop Era (AME) yang berlangsung baru-baru ini? Baguslah kalau tengok. Macam mana perjalanan AME secara keseluruhan? Ok ke tidak? Gaya pengacaraan Lofa pula ok ke? Harap-harap semuanya ok di mata pembaca semua.

Untuk minggu ini, Lofa nak berkongsi mengenai AME dari pandangan peribadi Lofa. Kira­nya, apa yang bakal anda baca ini eksklusiflah.

Ingat lagi tak apa yang berlaku pada AME tahun lalu? Teruk Lofa dikecam kerana baju yang Lofa pakai dikatakan seakan-akan watak Power Ranger.

Jujur Lofa katakan, untuk AME tahun ini pakaianlah yang paling merisaukan Lofa. Hampir setiap hari Lofa akan berkomunikasi dengan penata rias dan pereka baju mengenai baju Lofa.

Apa yang berlaku tahun lalu memang memberi kesan kepada Lofa. Kalau boleh, tahun ini Lofa mahu diingati kerana pengacaraan Lofa. Bukan sebab perkara kecil seperti baju.

Alhamdulillah, saat melihat baju rekaan Fizi Woo di depan mata, Lofa lega. Lega segala-galanya, menepati kehendak hati Lofa. Lofa juga bersyukur, peminat memberi reaksi positif mengenai baju Lofa.

Selain baju, bergandingan dengan Datuk AC Mizal dan tiga pelawak terbaik negara juga merisaukan Lofa. Yalah, Lofa tak mahu dikatakan sekadar penyeri acara majlis. Lofa nak juga duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan mereka semua.

Lofa tidak pandai buat lawak tapi mungkin sebab hampir seminggu berkampung bersama pelawak, tiba-tiba pula ‘deria’ lawak Lofa macam terangsang. Itu sebabnya tiba-tiba muncul Lofa yang cuba nak bercakap bahasa Negeri Sembilan.

Nampak macam segalanya ditulis dalam skripkan, tetapi sebenarnya tidak. Semuanya bermula dengan Nabil yang tiba-tiba datang dengan idea itu. Tanpa berfikir panjang, Lofa terus setuju.

Alhamdulillah, menjadi juga walaupun buruk sangat bunyinya bila Lofa bercakap loghat Negeri Sembilan. Sampaikan siap ada yang cadangkan Lofa supaya teruskan melawak. Ada-ada saja tau.

Ada tak pembaca yang berkesempatan ke Stadium Putra menyaksikan AME secara langsung? Kalau ada, pasti anda perasan liputan talian telefon, terutama Internet, memang sangat teruk. Tak terkecuali Lofa yang berada di belakang pentas. Punyalah teruja nak kongsikan perkembangan Lofa di belakang tabir.

Pembaca tahu tak yang Lofa perlu berlari keluar dari stadium setiap kali waktu komersial semata-mata untuk laporan terkini di Twitter dan Instagram Lofa.

Bayangkan dengan baju yang Lofa pakai, memang epik sangat pengalaman itu. Alhamdulillah, khabarnya rating AME boleh dikatakan antara yang tertinggi dan terbaik pernah dicatatkan. Bersyukur sangat.

Antara perkara lain yang paling mencuri perhatian yang mungkin anda tidak tahu berlaku di belakang tabir ialah, bagaimana terkejut dan terujanya Akim Ahmad saat lagu Mewangi diumumkan pemenang Lagu Meletop. Berlari dan menggigil-gigil Akim yang pada ketika itu berada di belakang pentas.

Kedua, gelagat penari Datuk Siti Nurhaliza yang sentiasa sibuk menghafal gerakan. Yalah, bukan senang nak jadi penari kebudayaan tau. Jujur Lofa katakan, persembahan Datuk Siti memang dalam kelas tersendiri. Setuju tak?

Banyak sebenarnya yang berlaku di sebalik tabir penganjuran AME. Hampir tiga jam bersiaran, semuanya berjalan dengan tenang dan baik sekali. AME 2015 pasti akan menjadi momen indah yang Lofa akan ingat sentiasa.

Namun paling penting, sebelum Lofa terlupa, Lofa nak ucapkan jutaan terima kasih kepada mama yang setiap saat tidak jemu memberi kata-kata semangat sebelum Lofa naik ke pentas.

Buat peminat Lofa dan peminat AME, terima kasih juga untuk segala komen ikhlas dan kata-kata kekuatan anda. Mungkin anda ingat Lofa tidak membacanya, hakikatnya Lofa baca semuanya. Terharu dengan soko­ngan dan kritikan anda semua.

Buat tenaga produksi, tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga Lofa ucapkan. Mungkin ada sedikit cacat cela, insya-Allah, Lofa akan perbaiki di masa depan.

Sehingga minggu depan, jaga diri dan banyakkan minum air dalam keadaan cuaca yang sedikit panas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:05 AM