HALIMAH bersama anaknya, Nor Hafina Balqis Mohd Hafiz, melihat bumbung rumah mereka yang rosak dipukul ribut di Kampung Gerigis, Mukim Tajar. FOTO Amran Hamid
HALIMAH bersama anaknya, Nor Hafina Balqis Mohd Hafiz, melihat bumbung rumah mereka yang rosak dipukul ribut di Kampung Gerigis, Mukim Tajar. FOTO Amran Hamid
Oleh Norul Awatif Romli

Alor Setar: Lebih 20 rumah rosak, terutama pada bahagian bumbung dan dinding akibat diterbangkan ribut dalam kejadian di Kampung Gerigis, Mukim Tajar, di sini, kira-kira 4 petang tadi.

Mangsa, Halimah Zakaria, 29, berkata, ketika kejadian di berada dalam rumah untuk menutup tingkap serta pintu rumah berikutan keadaan cuaca kelihatan seperti mahu hujan selain kilat sambar menyambar.

"Saya kemudian masuk ke bilik untuk menanggalkan plug dan terdengar suara suami serta beberapa rakannya menjerit mengarahkan saya dan anak perempuan berusia lapan tahun keluar kerana rumah macam nak roboh.

"Ketika itu hanya Allah SWT saja tahu perasaan ini dan mujurlah ibu mertua, Sopiah Hanafi, 63, tiada di rumah, manakala anaknya pula sempat berlari keluar rumah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gerigis, Salleh Taib berkata, dianggarkan lebih 20 rumah penduduk rosak terutama di bahagian bumbung dan dinding selain terdapat sebuah rumah yang sedang dalam pembaikan mengalami kerosakan 100 peratus.

"Dijangka malam ini kita akan mengadakan mesyuarat khas bersama ahli jawatankuasa lain bagi mengenalpasti jumlah sebenar rumah yang terbabit dan bantuan yang akan diberikan kepada mangsa," katanya.

Katanya, pihaknya juga akan membuat susulan dengan pihak penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Daerah untuk mengenal pasti bantuan awal yang boleh diberikan kepada semua mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 9:42 PM