Sabri   tinggal di rumah pusaka peninggalan ibu bapanya  yang usang di Kampung Pesagi, Chenor.
Sabri tinggal di rumah pusaka peninggalan ibu bapanya yang usang di Kampung Pesagi, Chenor.

Maran: Jika dilihat dari jauh pasti ramai menyangka rumah papan berwarna biru kusam itu tidak berpenghuni. Keadaan rumah yang daif dengan beberapa keping dinding kayunya terkopak, ditambah pula lokasi di tengah ladang getah sudah pasti tidak menawarkan keadaan selesa kepada penghuninya.

Namun, rumah usang di Kampung Pesagi, Chenor, dekat sini, menjadi tempat berteduh bagi Sabri Abdul Rahman, 47, sejak hampir 20 tahun lalu kerana ia rumah pusaka peninggalan ibu bapanya.

Apa yang menyedihkan tiang yang menyokong lantai rumah itu beralih dari tapaknya dan ia kelihatan seperti tergantung, sekali gus mendedahkan penghuninya kepada risiko.

Sabri berkata, rumah itu mula terjejas teruk selepas ditenggelami air sehingga paras bumbung dalam kejadian banjir besar pada 2014 dan sejak itu bahagian dindingnya semakin terkopak dan mereput, malah dinding dapurnya roboh.

“Keadaan rumah ini memang uzur, dengan lantai berlubang, dinding roboh dan sudah tentu tidak selesa, namun saya tidak mempunyai pilihan selain terus tinggal di sini kerana ia adalah rumah pusaka keluarga.

“Dengan pendapatan tidak menentu hasil kerja kampung sememangnya saya tidak mampu membaiki kerosakan rumah ini, makan pun kadangkala bercatu, apatah lagi untuk membaikinya,” kata anak kelapan daripada 10 beradik itu.

Sabri berkata, dia mahu memohon bantuan bagi membina semula rumah pusaka itu di tapak sama kerana hanya itu saja peninggalan orang tuanya.

“Tanah ini milik orang tua saya, sayang rasanya jika dibiarkan begitu saja. Jadi, sebolehnya saya mahu rumah baru dibina di sini, bukan rumah yang besar sebaliknya cukuplah sebuah rumah yang selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 7:46 AM