AHMAD Nazri menatap jenazah ibunya, Robeah yang meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya.
AHMAD Nazri menatap jenazah ibunya, Robeah yang meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya.

Alor Setar: Ibu kepada mantan Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Ahmad Nazri Abdullah meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Kampung Gerigis, Jalan Datuk Kumbar, di sini, semalam.

Allahyarham Robeah Ahmad, 82, yang uzur sejak dua tahun lalu menghembuskan nafas terakhir jam 5.13 petang di sisi enam anaknya.

Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke wad Pusat Perubatan Kedah (KMC), di sini, selama tujuh hari dua minggu lalu akibat masalah pernafasan sebelum dibawa pulang ke rumah, Ahad lalu selepas keadaannya kembali stabil, namun lemah.

Bagaimanapun, selepas dua hari berehat keadaan Allahyarham bertambah tenat sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Ahmad Nazri berkata, beliau dimaklumkan mengenai keadaan ibunya yang tenat pada Sabtu lalu dan segera pulang ke kampung halaman dari Kuala Lumpur.

“Walaupun bersedih dengan pemergian ibu, namun kami reda kerana dia pergi mengadap Ilahi dalam keadaan baik. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

“Saya mengucapkan ribuan terima kepada adik-beradik dan sanak-saudara yang tidak putus mendoakan kesihatan ibu sepanjang hayatnya termasuk menjaga arwah sepanjang keuzurannya.

“Tidak lupa sahabat handai yang menzahirkan ucapan takziah terhadap seluruh ahli keluarga. Hanya Allah SWT dapat membalas jasa dan ingatan kalian,” katanya ketika ditemui di kediaman ibunya, di sini, malam tadi.

Katanya, jenazah ibunya akan disembahyangkan di Masjid Kampung Gerigis, di sini, jam 9 pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gerigis bersebelahan pusara bapanya Allahyarham Abdullah Bakar yang meninggal dunia pada September 2010.

Allahyarham meninggalkan lapan anak, 24 cucu serta seorang cicit.

Turut hadir pada majlis tahlil dan bacaan Yasin ialah mantan Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mior Kamarul Shahid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 7:55 AM