SHEBBY mahu Schmid bersuara.
SHEBBY mahu Schmid bersuara.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh menggesa Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Fritz Schmid tampil memberi penjelasan mengenai segala perancangan yang sedang dan akan dilaksanakannya demi memajukan sukan nombor satu negara itu.

Beliau berkata, tempoh hampir setahun sepatutnya sudah cukup untuk pengarah teknikal itu merencana sesuatu dan bukannya melakukan sesuatu perancangan secara sembunyi atau langsung tidak berbuat apa-apa.

“Ini bukan kerja penyiasatan untuk buat sesuatu kerja secara senyap-senyap, beliau sepatutnya memberikan penjelasan mengenai apa saja perancangan yang ingin dilakukan untuk pasukan kebangsaan atau Harimau Muda.

“Jika perancangan sedang dilakukan, kita mahu lihat perkembangannya tapi maaf cakap, setakat ini saya belum lihat sebarang pembaharuan.

“Penting untuk perancangan ini dikongsi bersama bukan saja dengan peminat tempatan malah pasukan negeri dan kelab supaya mereka boleh juga bekerjasama membantu merealisasikannya,” katanya semalam.

Kedudukan Schmid, 55, dari Switzerland mula dipersoal selepas didakwa gagal memainkan peranan membantu perkembangan skuad Harimau Malaya dan Harimau Muda selepas dilantik Pengarah Teknikal FAM Mei tahun lalu.

Dalam laporan Arena Metro semalam, sumber dalaman FAM mengatakan Schmid, bekas penolong jurulatih Austria gagal memberikan impak kepada bola sepak negara apabila kedudukan ranking Malaysia merosot ke tangga 164 dunia manakala Harimau Muda dilihat tiada hala tuju selepas ada pihak mahu program itu dibubarkan.

Serbegeth yang sebelum ini pernah menjadi Penasihat Global kelab bola sepak Inggeris Blackburn Rovers menegaskan, beliau tidak mengharapkan kejayaan besar dalam masa singkat dengan kehadiran Schmid namun sekurang-kurangnya mahu melihat peningkatan atau pembaharuan.

“Untuk mencapai sesuatu kejayaan kita perlukan masa, itu kita tahu tapi sekurang-kurangnya kita mahu lihat idea beliau dan pembaharuan yang cuba dilakukan. Sejauh mana beliau membantu pasukan kebangsaan, apakah falsafah permainan bola sepak yang cuba diterapkan?

“Beliau tidak memerlukan masa terlalu lama untuk memahami bola sepak negara kita, selain cuaca dan pemakanan, semuanya sama saja. Beliau datang ke Malaysia bukan untuk memahami bola sepak di sini tapi menukar corak latihan, permainan dan mentaliti pemain kita,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Dali Omar turut senada dengan apa yang disuarakan Serbegeth apabila berkata, kehadiran Schmid tidak banyak memberi kesan kepada pasukan negara.

“Pada saya, tempoh enam bulan sudah memadai untuk seseorang pengarah teknikal itu merancang sesuatu.

“Kita mungkin tidak perlu ambil orang luar jika beliau tidak boleh membantu. Lebih baik bagi orang tempatan jadi pengarah teknikal.”

Dali turut mempersoal pasukan Harimau Muda C yang terpaksa bermain tiga perlawanan Liga FAM setiap minggu dalam masa dua bulan kerana mahu menyertai Liga di Slovakia.

“Kenapa tergesa-gesa, pemain muda bukan mesin. Ini boleh ‘merosakkan’ pemain dan apa tujuan Schmid merencana program sebegitu?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 9:27 AM