SCHMID (kanan) mahu jurulatih diberi pendedahan moden.
SCHMID (kanan) mahu jurulatih diberi pendedahan moden.

Bukit Jalil: Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Fritz Schmid mengakui tahap kepakaran jurulatih kecergasan pasukan bola sepak Liga Malaysia masih jauh ketinggalan.

Justeru beliau berharap jurulatih kecergasan tempatan terus diberikan pendedahan mengenai konsep dan cara terkini teknik kecergasan moden seiring dengan perkembangan bola sepak dunia.

“Kita (jurulatih kecergasan) belum berada di tahap dunia. Kita sedar banyak perkara perlu dilakukan untuk kita berada di tahap itu. Apa yang kita perlu lakukan adalah mengenalpasti isu atau kelemahan yang perlu kita atasi,” katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis Penutup Kursus Kecergasan FIFA di Majlis Sukan Negara semalam.

Kursus itu yang dihadiri jurulatih kecergasan daripada semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana itu berlangsung sejak Isnin lalu dan menjadi kursus kedua dianjurkan oleh FAM tahun ini.

Menurut Schmid, pengetahuan dan kepakaran jurulatih kecergasan boleh ditingkatkan namun ia tidak akan boleh dilakukan dengan sekelip mata.

“Jika anda jangkakan perubahan berlaku dalam dua minggu, anda silap. Mereka memerlukan pengalaman, dengan pengalaman itu akan dibawa di dalam padang bersama pemain. Mereka juga memerlukan kerjasama dan sokongan ketua jurulatih, kelab, FAM serta semua pihak.

“Kita perlu terus berikan pengetahuan terkini kepada jurulatih kecergasan untuk meningkatkan kualiti bola sepak di negara ini. Untuk melakukannya kita memerlukan masa,” katanya.

Bekas penolong jurulatih Austria kelahiran Switzerland itu berkata, beliau yakin kualiti jurulatih kecergasan negara ini boleh ditingkatkan memandangkan sikap keterbukaan mereka untuk menerima sesuatu yang baru.

“Saya lihat, semua peserta kursus ini bersedia menerima konsep baru jadi kita perlu adakan lebih banyak kursus bukan hanya membabitkan aspek kecergasan tapi kursus kejurulatihan yang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:05 AM