LAPORAN Harian Metro minggu lalu.
LAPORAN Harian Metro minggu lalu.

Nama Robert Ballard dan Fritz Schmid tiba-tiba menjadi sebutan sepanjang minggu ini. Apatah lagi kedua-duanya terbabit dalam dua sukan yang tidak pernah lekang daripada kontroversi.

Seperti diduga, kedua-dua ‘pakar sukan’ luar negara itu menjadi sasaran apabila ada yang tidak puas hati dengan sumbangan diberikan membangunkan kedua-dua sukan terbabit.

Ballard yang memegang jawatan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) manakala Schmid, Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat gagal membawa impak terhadap olahraga dan bola sepak yang masih tercari-cari hala tuju.

Bekas atlet olahraga, Zaki Sadri meluahkan rasa terbuku di hati apabila Ballard yang dilantik KOM sejak setahun lalu menurutnya tidak banyak membantu persiapan atlet ke Sukan SEA Singapura, malah menolak program latihan yang diatur jurulatih tempatan.

Namun Ballard bingkas mempertahankan diri, mendakwa beliau bukan seorang yang mengamalkan ‘kuku besi’ selain sentiasa bersikap terbuka dan menerima pandangan.

Schmid juga turut dilemparkan ‘tuduhan’ sama apabila dikatakan tidak membawa sebarang kemajuan kepada bola sepak tempatan apatah lagi dengan ranking bola sepak Malaysia yang terus menjunam ke tangga ke-164.

Kredibiliti Schmid turut dipersoal bekas pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh malah Dali Omar mempertikaikan kewajaran FAM mengambil orang luar yang tidak berfungsi.

Namun FAM tampil membela anak buahnya dan menyifatkan kejatuhan ranking tiada kena-mengena dengan Schmid malah beliau hanya terbabit dalam hal merencanakan pembangunan remaja.

PIALA FA

Sementara itu saingan Piala FA semakin hangat apabila empat pasukan mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan tiga daripadanya dimonopoli pasukan Pantai Timur.

Terengganu dan Kelantan terlebih dulu menempah slot ke separuh akhir apabila menewaskan lawan masing-masing. Terengganu menewaskan Perak 2-0 (agregat 3-1), manakala Kelantan mengecewakan Sime Darby FC 3-0 (agregat 4-1).

Pahang pula lega dengan keputusan seri 2-2 (agregat 4-2) menentang Pulau Pinang berbekal kelebihan dua gol pada perlawanan pertama.

LionsXII pula tidak berdepan masalah untuk membenam Johor Darul Ta’zim II 2-0 (agregat 4-0) untuk ke separuh akhir.

BADMINTON

Tidak ketinggalan badminton yang membawa pelbagai kisah minggu ini. Bermula dengan kenyataan bekas pemain beregu kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek yang yakin gandingan beregu veteran Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dianggapnya mampu mencabar gandingan terbaik dunia dan layak ke Sukan Olimpik Rio selepas mendapat penajaan RM2 juta daripada Seri Mutiara Sdn Bhd selama dua tahun.

Begitu juga dengan Datuk Lee Chong Wei yang akan kembali mewarnai kancah badminton negara apabila jurulatih baru ikon sukan itu, Hendrawan sudah mempersiapkan pelbagai program untuk menyertai Kejohanan Dunia 2015 dan Sukan Olimpik Rio.

Bekas jurulatih Chong Wei, Rashid Sidek kini bagaimanapun mengaku lebih tenang selepas meninggalkan BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:03 AM