Ia hidangan popular di sekitar Asia. Biarpun nama panggilannya mengikut loghat negeri dan negara berbeza, stimbot disifatkan antara menu mudah yang menjadi kegemaran masyarakat di benua ini.

Lazimnya stimbot didapati di gerai jalanan, pasar malam dan restoran tertentu kebanyakannya restoran makanan Cina dan Thai.

Namun, Hotel Ramada Plaza, Dua Sentral, Kuala Lumpur (dulunya Hotel Best Western Premier) cuba membawa pengalaman unik menikmati stimbot menerusi promosi menarik sepanjang April dan Mei ini.

Bertempat di Hugo’s On 6, penggemar stimbot boleh menikmati variasi makanan laut di tepi kolam renang sambil berlatar belakang pemandangan menarik bandar raya Kuala Lumpur.

Jelas Chef Sous Hugo’s On 6, Zainuddin Abu Bakar, stimbot kini menjadi antara pilihan pelancong asing kerana kepelbagaian yang ditawarkannya.

“Tidak rumit untuk menyediakan dan menikmati stimbot. Ada juga yang berasakan hidangan stimbot ini menyihatkan kerana menggunakan bahan segar yang dicelur seketika dalam sup atau tomyam.

“Tetapi, kebanyakannya gemarkan stimbot kerana rasanya yang tidak terlalu kompleks dan beri peluang untuk kita menyediakannya sendiri di atas meja, bukannya di dapur,” katanya.

Berbanding stimbot biasa yang menggunakan makanan laut jenis beku dan diproses di kilang, kebanyakan bahan stimbot di Hugo’s On 6 diproses sendiri oleh Chef Zainuddin bersama pasukannya.

Antaranya bebola ikan dicampur bersama keju dan sayur-sayuran, juga hirisan abalone serta kek kekapis. Tidak ketinggalan ayam, daging dan telur jika kurang gemarkan makanan laut.

Set stimbot ini hadir dengan tiga pilihan sos buatan sendiri iaitu sos cili pedas, sos bijan dan cili padi yang memberikan keseimbangan rasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 12:13 PM